SEPANG 3 Ogos – DAP Selangor, Johor dan Negeri Sembilan menyatakan sokongan penuh kepada Setiausaha Agung Anthony Loke untuk terus memimpin parti itu walaupun keputusan Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Negeri Sembilan ke-16 tidak memihak kepada parti berkenaan dan Pakatan Harapan (PH).
Pemimpin peringkat negeri itu menyatakan sokongan mereka susulan kenyataan Loke di Chennah, bahawa beliau sedia mempertimbangkan untuk meletak jawatan sebagai pengerusi parti itu di Negeri Sembilan.
Keputusan itu dibuat bagi mengambil tanggungjawab susulan prestasi DAP dalam pilihan raya negeri dan menegaskan akan membangkitkan perkara itu pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang akan datang.
Pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Negeri Sembilan, Loke gagal mempertahankan DUN Chennah yang dimenangi sejak tiga penggal lalu serta gagal mempertahankan kerusi Repah.
DAP Negeri Sembilan dalam kenyataannya menyatakan sokongan terhadap Loke untuk terus memimpin parti itu di peringkat negeri walaupun menyuarakan hasrat berundur susulan kegagalan mempertahankan kerusi DUN Chennah.
Setiausaha DAP negeri, Cha Kee Chin, berkata pihaknya sudah berbincang dengan semua ahli jawatankuasa dan sebulat suara memohon supaya Loke terus memimpin DAP Negeri Sembilan.
“Kami menyokong penuh supaya Loke kekal memimpin kerana kepemimpinan beliau terbukti dan diiktiraf sebagai terbaik dalam sejarah DAP di Negeri Sembilan.
“Bermula dengan memenangi dua kerusi pada 2004, kepemimpinan berwibawa Loke melonjakkan DAP Negeri Sembilan ke tahap yang dihormati oleh kawan dan lawan.
Kekalahan di kerusi Chennah dan Repah memang mendatangkan kekecewaan kepada kami, tetapi ia bukan salah Loke dan Loke tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan dengan kekalahan ini,” katanya .
Kee Chin berkata, DAP Negeri Sembilan memerlukan kepemimpinan berkarisma daripada Loke untuk menghadapi cabaran masa depan termasuk cabaran Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Analisa awal keputusan PRN kali ini menunjukkan calon Pakatan Harapan dan DAP masih mendapat sokongan padu dalam kalangan penyokong tegar kami walaupun menghadapi pihak lawan yang memainkan isu perkauman,” katanya.
Sementara itu, mesyuarat Jawatankuasa DAP Johor di Kulai semalam menyatakan sokongan penuh kepada Loke untuk terus memimpin parti itu walaupun keputusan pilihan raya Negeri Sembilan tidak memihak kepada parti dan PH.
Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching, berkata kepemimpinan Loke, sepanjang tempoh kempen memperlihatkan keberanian, kebertanggungjawaban dan kesediaan memikul amanah parti dalam saat-saat yang paling mencabar.
“DAP Johor menghormati keputusan yang telah dibuat oleh rakyat Negeri Sembilan. Keputusan ini adalah suara rakyat yang wajib diterima dengan penuh rasa tanggungjawab, rendah hati dan semangat untuk terus memperbaiki diri,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.
Teo mendedahkan bahawa beliau pernah menawarkan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi DAP Johor kepada Loke pada malam 11 Julai, iaitu ketika keputusan PRU DNJohor diumumkan, namun Loke memintanya supaya tidak berbuat demikian.
Teo turut merakamkan penghargaan kepada anggota DAP Johor yang membantu jentera kempen di Negeri Sembilan sehingga hari pengundian, walaupun keputusan yang dicapai tidak memihak kepada DAP dan PH.
Dalam pada itu, DAP Selangor menghormati keputusan yang telah dibuat oleh rakyat Negeri Sembilan yang menyaksikan DAP gagal mempertahankan kerusi Chennah dan Repah, dan PH juga hilang kuasa memerintah di Negeri Sembilan.
Pengerusi DAP Selangor, Ng Sze Han berkata, DAP menerima keputusan pilihan raya Negeri Sembilan dengan rendah hati dan merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera kempen, sukarelawan, penyokong dan pengundi, termasuk rakan-rakan dari Selangor yang turun membantu.
“Persaingan di Chennah amat sengit. Setiausaha Agung DAP, Saudara Anthony Loke Siew Fook telah menunjukkan kewibawaan seorang pemimpin yang memikul tanggungjawab untuk mempertahankan DUN Chennah sendiri.
Gelora dan badai politik pasca PRN ini mesti diuruskan dengan cermat, matang dan berpandangan jauh,” katanya.
Justeru DAP Selangor menyokong supaya Loke kekal memimpin parti DAP di peringkat Negeri Sembilan dan peringkat Nasional supaya kesinambungan parti dapat dipelihara, serta usaha memulihkan kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan PH dapat dicapai menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.
Nnnnnn
