SEPANG 3 Ogos – Pakatan Harapan (PH) harus bermuhasabah, mencari di mana kelemahannya dan pada waktu yang sama perlu membina kekuatan baharu untuk menggerakkan momentum bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Timbalan Presiden Amanah, Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata, PH akan mengharungi laluan mendaki yang sukar jika ia beriltizam untuk istiqamah membawa Malaysia ke politik nilai yang lebih menjamin masa depan negara.
Katanya, kemenangan gabungan Barisan Nasional (BN) Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan adalah petunjuk kepada kemenangan politik identiti kaum ke atas politik nilai rentas pelbagai kaum dan agama yang dibawa oleh PH.
Menurut Mujahid, pengundi di Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) memilih emosi dan sentimen kaum dari prestasi dan pencapaian sebagai tanda aras sokongan mereka.
“PH harus sedar bahawa cita-cita perpaduan yang diharapkan bersama BN telah dirampas oleh cita-cita ketuanan Melayu-Islam yang dibawa PN dan demi kuasa, BN sanggup meninggalkan cita-cita melihat Malaysia tanpa prejudis dan kebencian kaum-agama,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mendakwa tindakan BN membahagikan kerusi dengan PN sebagai ‘menikam’ rakan secara terang-terangan yang menyaksikan BN-PN merampas pentadbiran negeri itu selepas menguasai dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sambil menzahirkan perasaan kesal atas sikap itu, beliau berkata, tindakan BN dilihat bertujuan mengalahkan Kerajaan Perpaduan di negeri berkenaan yang dibentuk bersama sebelum pilihan raya negeri.
Sabtu lalu, pada PRU DN Negeri Sembilan, persefahaman BN dan PN berjaya membolot 25 kerusi dengan UMNO memang kesemua 16 kerusi ditandingi, diikuti MCA (dua), manakala PN menerusi Pas meraih empat kerusi dan tiga lagi disumbangkan Parti Wawasan Negara (Wawasan).
PH memenangi 11 kerusi menerusi DAP (9) dan PKR (2) manakala Amanah tidak memenangi sebarang kerusi.
Mujahid berkata, sementara pilihan pengundi dihormati, lahir kebimbangan bahawa parti-parti yang membawa naratif politik beridentitikan kaum dan agama sempit berpotensi membawa kepada risiko suasana politik menjadi semakin meruncing.
“Ketidakpercayaan serta kebencian antara kaum dan agama akan semakin melebar, justeru menjejaskan kestabilan serta perpaduan yang menjadi kunci kepada kemakmuran negara,” katanya.
Beliau mendakwa, mesej politik kepada rakyat menjadi lebih keliru apabila BN yang menjadi sebahagian komponen Kerajaan Perpaduan, bersama dengan pembangkang daripada PN tetapi menggunakan kelebihan kedudukan sebagai menteri dan lain-lain kedudukan rasmi untuk berkempen di Negeri Sembilan.
“Apakah akan berlaku pensejajaran semula untuk memenangkan politik nilai daripada politik perkauman?,” katanya.
Nnnnn
