Tidak langgar asas pembentukan Kerajaan Perpaduan

PUTRAJAYA 3 Ogos – Kerjasama politik yang dibentuk pada peringkat negeri tidak melanggar asas pembentukan Kerajaan Perpaduan di Persekutuan kerana kedua-duanya beroperasi dalam landskap politik yang berbeza.

Ketua Penerangan UMNO,  Azalina Othman Said, berkata, setiap negeri mempunyai perlembagaan, kepemimpinan dan acuan politik tersendiri.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata, setiap negeri mempunyai pendekatan politik yang diputuskan oleh kepimpinan parti berdasarkan realiti setempat.

“Saya melihat negeri dengan pusat adalah berlainan… sebab setiap negeri itu ada perlembagaan negeri sendiri, ada kepimpinan negeri sendiri, dan ada Sultan atau Raja mereka sendiri.

“Jadi pada saya, negeri agak berlainan daripada pusat untuk disamakan. Kepimpinan parti sudah banyak kali menyatakan pusat adalah berlainan dengan negeri,” katanya kepada pemberita pada Perhimpunan Bulanan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), di sini, hari ini.

Sebelum ini bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menggesa supaya perjanjian Kerajaan Perpaduan membabitkan Barisan Nasional (BN), ditamatkan susulan kerjasama antara gabungan itu dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Negeri Sembilan ke-16.

Mohd Puad juga menyifatkan alasan bahawa kerjasama politik pada peringkat pusat lain dan negeri lain sebagai tidak relevan.

Azalina berkata, setiap negeri mempunyai pendekatan politik yang diputuskan oleh kepemimpinan parti berdasarkan realiti setempat, contohnya di Johor, BN secara solo, di Negeri Sembilan, bekerjasama.

“Mungkin di Melaka pula kita tidak pasti lagi bagaimana pembentukannya. Kalau tengok di Sabah, kita pergi bersama Pakatan Harapan (PH) secara tidak langsung.

“Jadi, setiap negeri itu pembentukannya berlainan (berdasarkan) keputusan parti politik sendiri,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment