AMK patut tanya MB, bukan babitkan MCA

SEPANG 24 April  – “Aiykkk?? Baru bangun tidur ker, Dik?”, itu reaksi Pemuda MCA ketika mengulas kenyataan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor yang cuba mengheret parti itu dalam kemelut kenyataan membabitkan isu ternakan babi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki.

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, AMK Selangor sepatutnya bertanyakan Menteri Besar (MB) Selangor yang juga Naib Presiden PKR.

“Kalau kamu nak mempertahankan DAP dalam isu babi sekali pun, tak perlulah membabitkan MCA! MB Negeri Selangor kan dari parti kamu sendiri! Tanyalah pemimpin kamu sendiri! Bebal!,” katanya menerusi Facebook.

Semalam, Pengarah Komunikasi AMK Selangor, Mohammad Haziq Izwan Mohd Husni ingin tahu pendirian Pemuda MCA dan  Gerakan berhubung desakan Pemuda Pas yang mahukan Siew Ki digantung daripada sidang DUN susulan kenyataan berkenaan ternakan babi.

Terdahulu, Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar mengecam ADUN DAP Seri Kembangan itu berhubung isu penternakan babi yang dibangkitkan dalam sidang DUN dan menyifatkan cadangan Siew Ki tidak boleh diterima, bersifat biadab serta tidak menghormati institusi Raja Berperlembagaan.

Sehubungan itu, Mohamed Sukri mendesak Speaker DUN Selangor dan jawatankuasa berkaitan meneliti perkara tersebut dengan serius serta mempertimbangkan tindakan tatatertib yang tegas terhadap Siew Ki.

Katanya, ia termasuk penggantungan daripada sidang DUN sehingga 12 bulan, sekiranya ADUN Seri Kembangan berkenaan didapati benar-benar membangkitkan cadangan yang bertentangan dengan titah Sultan Selangor dan mencemarkan adab terhadap institusi Raja Berperlembagaan.

Susulan itu, AMK Selangor berkata, pihaknya berminat untuk mengetahui adakah Pemuda Gerakan dan Pemuda MCA mempunyai pendirian yang sama dengan Mohamed Sukri yang disifatkan cuba memainkan politik sentimen secara berlebihan.

Menurut Mohammad Haziq Izwan, DUN Selangor merupakan badan perundangan tertinggi di peringkat negeri yang memainkan peranan penting dalam sistem demokrasi berparlimen di Malaysia.

Ujar beliau, ia juga adalah tempat di mana mandat rakyat dizahirkan melalui wakil yang dipilih.

“Malah, setiap Ahli Dewan Negeri (ADUN) bertanggungjawab membawa masalah penduduk di kawasan (DUN) masing-masing ke peringkat negeri, sama ada isu infrastruktur, kebajikan, pendidikan, keperluan sosial mahupun ekonomi.

“Justeru, AMK Selangor mahu Pemuda Gerakan dan Pemuda MCA menyatakan pendirian sama ada menyokong saranan Sukri Omar yang jelas tidak faham peranan ADUN serta fungsi Dewan Sidang Negeri ataupun berdiri teguh sebagai sayap pemuda yang mengerti bahawa akhirnya bukan semua perkara perlu dipolitikkan,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment