MAKKAH – Kumpulan pertama 260 jemaah haji Malaysia (kumpulan KT01) tiba di Makkah pukul 4.30 petang Khamis waktu tempatan selepas menempuh perjalanan selama lapan jam dari Madinah.
Ketibaan mereka di Hotel Abraj Al Tayseer yang turut menjadi ibu pejabat operasi Lembaga Tabung Haji (TH) di Makkah disambut Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir, Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun serta petugas TH.
Mereka sebelum ini berada di Madinah selama enam hari.
Bermula pukul 9 malam Khamis, jemaah dijadualkan menunaikan umrah wajib secara berperingkat di Masjidil Haram.
Secara keseluruhan, seramai 841 jemaah daripada tiga kumpulan awal akan berada di Makkah pada Khamis, dengan kumpulan KT02 membabitkan 260 jemaah dijadual tiba pada pukul 5.30 petang.
Kumpulan jemaah itu ditempatkan di tiga lokasi iaitu Al Tayseer (260 jemaah), Al Kiswah (326) dan Al Qasr (255).
Terdahulu, menurut Mohd Hisham, seramai 5,364 jemaah haji Malaysia selamat tiba di Madinah setakat 12 tengah malam tadi, iaitu sejak Operasi Haji 1447H/2026M bermula secara rasmi pada 18 April lalu.
Katanya , sebanyak 19 penerbangan yang membawa jemaah Malaysia telah tiba dengan selamat, manakala satu lagi penerbangan berlepas ke Madinah hari ini.
“Tabung Haji sentiasa memantau pergerakan jemaah dari semasa ke semasa bagi memastikan semua perancangan operasi berjalan seperti ditetapkan, selain memastikan kebajikan jemaah sentiasa terjaga,” katanya.
Sebanyak 31,600 jemaah haji Malaysia berlepas secara berperingkat ke Madinah dan Makkah menerusi 100 penerbangan sewa khas oleh AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines.
Nnnn
