KUALA LUMPUR 28 Okt .- Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO malam ini bersetuju sebulat suara mengabsahkan kerjasama dan persefahaman politik dengan rakan strategik Pas dan rakan-rakan daripada Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihanraya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Melaka ke-16.
Setiausaha Agung UMNO Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan berkata, susulan kerjasama itu, MT mengarahkan seluruh jentera dan penyokong parti membantu sepenuh hati dan memberikan sokongan padu kepada semua calon PN yang bakal bertanding dalam pilihan raya kali ini.
“Mesyuarat juga bersetuju untuk BN dan PN melancarkan Manifesto Pilihan Raya bersama bagi menawarkan khidmat yang terbaik kepada rakyat bagi meneruskan kecemerlangan perkhidmatan dan pembangunan negeri oleh kerajaan negeri Melaka sebelum ini,” katanya.
Pada masa yang sama, pimpinan dan jentera parti diseru supaya sentiasa mengamalkan kempen pilihan raya secara berhemah dan berakhlak tanpa perlu terjebak dengan sebarang perbuatan memfitnah, mengeji ataupun memaki-hamun parti lawan.
Sabtu lalu, BN, mengumumkan 21 calon mewakili gabungan itu pada PRU DN Melaka Ke-16, dengan menampilkan lapan muka baharu dan mengekalkan 13 calon sedia ada.
Calon berkenaan membabitkan 18 calon daripada UMNO, dua MCA dan satu MIC, manakala tujuh lagi kerusi diserahkan kepada rakan strategik yang bekerjasama dalam PRN berkenaan.
Sementara itu dalam perkembangan lain, MT UMNO menggesa kerajaan khususnya Kementerian Kewangan menarik balik arahan pembatalan projek-projek berkepentingan rakyat terutamanya di Sabah dan Sarawak yang melibatkan projek pembangunan luar bandar termasuk jalan luar bandar serta bekalan air dan elektrik luar bandar.
Nnnn
