WASHINGTON – Dua kapal tangki minyak yang dilaporkan berlepas dari pelabuhan Chabahar di Teluk Oman dihalang meninggalkan Iran semalam.
Sebuah kapal pemusnah milik Amerika Syarikat (AS) menghalang dua kapal itu, sehari selepas sekatan laut yang diumumkan oleh Presiden Donald Trump, mula berkuat kuasa.
Kedua-dua kapal itu dihubungi oleh kapal perang AS melalui komunikasi radio dan diarahkan berpatah balik.
Perkembangan itu memperincikan pelaksanaan awal sekatan yang bertujuan memberi tekanan kepada Iran supaya membuka semula Selat Hormuz iaitu laluan strategik yang mengendalikan kira-kira 20 peratus perdagangan minyak dunia.
Dua kapal tangki itu adalah antara enam kapal dagang yang diarahkan berpatah balik ke pelabuhan Iran, seperti dimaklumkan oleh Pemerintah Pusat AS.
Tiada kapal berjaya melepasi sekatan sejak ia berkuat kuasa kelmarin yang membabitkan operasi besar dengan lebih 10,000 anggota tentera AS, lebih 12 kapal perang serta puluhan pesawat.
Tentera AS menegaskan mereka akan terus menjamin kebebasan pelayaran di Selat Hormuz, selagi kapal tidak menuju ke atau dari Iran.
Trump mengumumkan sekatan itu selepas rundingan hujung minggu untuk menamatkan konflik gagal mencapai persetujuan. Harga minyak dunia melonjak melebihi AS$100 (RM394.60) setong sebelum kembali reda susulan harapan rundingan baharu.
Ancaman Iran terhadap laluan perkapalan sebelum ini menyebabkan harga minyak global melonjak hampir 50 peratus, manakala konflik berkenaan meragut kira-kira 5,000 nyawa.
Nnn
