Rasuah RM9.5 juta: PN minta siasatan segera

SEPANG 26 Mac – Perikatan Nasional (PN) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan menyeluruh, bebas dan telus terhadap dakwaan Ahli Parlimen PKR menerima rasuah bernilai hampir RM10 juta.

Setiausaha Agung PN,  Takiyuddin Hassan, berkata siasatan segera itu perlu dibuat tanpa selindung bagi memastikan kebenaran ditegakkan tanpa campur tangan mana-mana pihak atau individu.

Pada masa sama, PN juga, menggesa kerajaan, terutama kepemimpinan PKR memberikan penjelasan segera kepada rakyat, selain bekerjasama penuh dalam siasatan dijalankan.

“Kegagalan menangani dakwaan ini secara terbuka dan berintegriti hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap komitmen kerajaan memerangi rasuah serta salah guna kuasa,” kata Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas laporan berkaitan ahli perniagaan terpalit skandal ‘mafia korporat’, Victor Chin atau nama sebenarnya Chin Boon Loong yang mendakwa seorang Ahli Parlimen PKR meminta beliau menyediakan wang tunai bernilai RM10 juta bagi menyelesaikan skandal terbabit.

Victor menerusi dokumen setebal 40 halaman yang memperincikan kronologi peristiwa didakwanya itu bagaimanapun berkata, dia pada peringkat awal hanya menyediakan RM9.5 juta.

Bagaimanapun, baki RM500,000 tidak pernah diserahkan kepada Ahli Parlimen terbabit kerana isu berkenaan tidak diselesaikan.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, PN juga mendesak supaya identiti individu terbabit hanya ditentukan melalui proses siasatan sah bagi menghindari spekulasi yang boleh menjejaskan reputasi mana-mana pihak tidak bersalah.

Dakwaan itu, katanya, amat membimbangkan kerana ia bukan hanya membabitkan jumlah wang yang besar, tetapi turut menimbulkan persoalan serius berkaitan tadbir urus korporat, salah guna pengaruh politik serta integriti institusi negara.

Ketua Whip PN itu berkata, lebih membimbangkan, dakwaan terbabit menyatakan wang berkenaan diberi bagi tujuan mendapatkan campur tangan politik dalam urusan korporat.

“Jika benar, ia adalah pelanggaran serius terhadap prinsip tadbir urus baik dan integriti yang selama ini dilaungkan kerajaan. Ia juga berpotensi mencetuskan persepsi pengaruh politik digunakan untuk campur tangan dalam urusan korporat serta proses penguatkuasaan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, PN akan terus memantau perkembangan kes ini dan tidak akan teragak-agak membawanya ke Parlimen bagi memastikan prinsip akauntabiliti dan integriti dalam pentadbiran negara dipertahankan.

“Integriti bukan sekadar slogan dan kata-kata mulut pemanis bicara, sebaliknya lebih daripada itu. Ia menuntut pembuktian melalui ketelusan serta akauntabiliti konsisten dan berani,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment