Israel haramkan UNRWA beroperasi

BAITULMAQDIS – Selepas lebih tujuh dekad memberikan bantuan dan sokongan, Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk pelarian Palestin (UNRWA) diharamkan daripada beroperasi di Israel dan Baitulmaqdis timur yang diduduki.

Parlimen Israel memutuskan pengharaman itu apabila penggubal undang-undang

meluluskan rang undang-undang (RUU) itu dengan 92 undi menyokong dan 10 menentang, selepas bertahun-tahun kritikan keras Israel terhadap UNRWA.

Tuduhan regim Zionis bahawa agensi bantuan PBB itu diperalatkan oleh kumpulan pejuang Islam semakin meningkat sejak permulaan perang di Gaza berikutan serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober tahun lalu.

Larangan ke atas agensi PBB yang sekian lama memberikan bantuan dan sokongan penting di seluruh wilayah Palestin dan kepada pelarian Palestin di tempat lain jika dilaksanakan dijangka menyukarkan kerja kemanusiaan di Gaza.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata pekerja UNRWA yang terbabit dalam aktiviti pengganas terhadap Israel mesti bertanggungjawab, tetapi bantuan kemanusiaan yang berterusan mesti kekal tersedia di Gaza.

“Kami sedia untuk bekerjasama dengan rakan-rakan antarabangsa bagi memastikan Israel terus memudahkan bantuan kemanusiaan kepada orang awam di Gaza dengan cara yang tidak mengancam keselamatan Israel,” katanya di X.

Satu siri siasatan mendapati beberapa ‘isu berkaitan neutraliti’ di UNRWA dan menentukan bahawa sembilan pekerja ‘mungkin terbabit’ dalam serangan 7 Oktober, tetapi tidak menemui bukti untuk tuduhan utama Israel.

Kumpulan pejuang Hamas yang berang dengan tindakan Israel mengharamkan UNRWA menyifatkan ia sebagai perbuatan fasis dan menganggapnya sebagai tindakan perang serta penindasan regim Zionis terhadap penduduk Palestin.

Sementara itu, Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini mengecam keputusan itu dengan menegaskan ia tindakan awal yang berbahaya.

“Ini adalah yang terbaru dalam kempen berterusan untuk menjatuhkan kewibawaan UNRWA, malah RUU ini hanya akan menambah penderitaan rakyat Palestin,” tulisnya di X.

Tindakan itu juga dikecam dan dikritik kerajaan Amerika Syarikat (AS), Britain, dan Jerman, di mana AS sebelum ini menyatakan kebimbangan mengenai RUU itu yang memainkan peranan ‘kritikal’ dalam mengedarkan bantuan kemanusiaan di Semenanjung Gaza.

Pada 15 Oktober lalu, Washington memberi amaran kepada Israel untuk meningkatkan jumlah bantuan ke Semenanjung Gaza dalam tempoh 30 hari atau mempertimbangkan untuk menahan sebahagian bantuan ketenteraan kepada sekutunya yang utama.

Malah, Perdana Menteri United Kingdom (UK), Keir Starmer, menyatakan Britain amat bimbang kerana RUU itu akan menjejaskan bantuan penting UNRWA untuk rakyat Palestin.

Nnn

Related posts

Leave a Comment