Pendekatan depani impak ekonomi global

SEPANG 22 Mac – Malaysia memerlukan pendekatan ‘non-partisan’ yang mengutamakan negara lebih daripada kepentingan politik kepartian, bagi menangani impak ketidaktentuan ekonomi global yang semakin meruncing susulan konflik di Asia Barat.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, semua pihak pihak perlu dilibatkan secara menyeluruh dalam satu forum seumpama  Majlis Perundingan dan Intervensi,  agar setiap keputusan yang dibuat benar-benar mencerminkan kepentingan negara secara kolektif.

“Pendekatan ini bukan soal politik, tetapi soal kelangsungan negara dan Malaysia tidak boleh bergerak secara berpecah mengikut garis kepartian sebaliknya mesti menghimpunkan kekuatan seluruh negara dengan merentasi perbezaan politik dan latar belakang untuk menghadapi cabaran ini secara bersama.

Apabila kestabilan ekonomi negara dan kebajikan rakyat menjadi taruhan, keutamaan kita semestinya kesejahteraan dan daya tahan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, situasi kini menyumbang kepada kenaikan harga bahan tenaga, gangguan rantaian bekalan, serta tekanan terhadap ekonomi global di mana, ketidaktentuan itu melonjakkan kos logistik, sekali gus meningkatkan kos pengeluaran dan operasi merentasi pelbagai sektor ekonomi.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, dalam tempoh beberapa bulan mendatang, negara berkemungkinan berdepan dengan kenaikan harga barang asas dan makanan, peningkatan kos pengangkutan dan logistik.

Begitu juga kenaikan kos utiliti dan perkhidmatan bahkan lebih besar lagi impaknya adalah risiko tekanan kepada sektor pekerjaan, termasuk kemungkinan pengurangan tenaga kerja dalam industri yang terjejas.

“Tanpa intervensi dasar yang proaktif, risiko pemberhentian pekerja boleh meningkat, khususnya dalam sektor pembuatan, logistik, perusahaan kecil dan sederhana yang amat terkesan susulan kenaikan kos bahan mentah,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment