MELAKA 22 Mac – Berikutan keadaan cuaca panas dan berangin, penduduk di negeri ini diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka, bagi mengelakkan risiko kebakaran yang boleh merebak dengan cepat.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, berkata semua pihak perlu sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa berkaitan.
Katanya, sebelum ini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut mengeluarkan peringatan kepada orang ramai supaya mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.
“Justeru, saya berharap seluruh rakyat di Melaka dapat mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak melakukan pembakaran terbuka,” katanya pada majlis rumah terbukanya sempena Aidilfitri di perkarangan Stadium Hang Jebat, Krubong di sini hari ini.
Yang di-Pertua Negeri, Dr Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri, Ab Rauf Yusoh antara 25,000 tetamu yang hadir pada majlis berkenaan.
Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, berkata kerajaan negeri bersama jabatan serta agensi berkaitan sentiasa bersiap siaga menghadapi kemungkinan seperti musim kemarau, selain terus memantau keadaan semasa bagi memastikan keselamatan rakyat terjamin.
