KM sedia laporan kadar cukai tanah

TANJONG 22 Mac – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, akan menyediakan satu laporan mengenai pelaksanaan kadar cukai tanah baharu yang berkuat kuasa awal than ini dan akan diserahkan kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Dalam satu kenyataan, hari ini, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Loke kerana sudi mengaturkan mesyuarat membabitkan tiga pihak bagi membincangkan isu kenaikan kadar cukai tanah di Pulau Pinang.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan semalam berkata, beliau akan mengatur pertemuan antara Kon Yeow dengan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng, bagi menyelesaikan pertikaian berterusan mengenai kadar cukai tanah baharu di negeri ini.

Loke dipetik berkata, kepemimpinan pusat DAP amat bimbang dengan pertelingkahan terbuka dua pemimpin itu yang disifatkan sebagai tidak sihat serta tidak sesuai, terutama dalam keadaan ketidakpastian geopolitik dan ekonomi semasa.

Kerajaan negeri melaksanakan semakan kadar cukai tanah dan klasifikasi tanah luar bandar kepada bandar bagi seluruh Pulau Pinang mengikut peruntukan Seksyen 101 Kanun Tanah Negara (Akta 828) yang berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Pelaksanaan semakan kadar cukai tanah itu membabitkan hampir 370,000 hak milik tanah di seluruh Pulau Pinang meliputi pelbagai kategori dan kegunaan tanah termasuk kediaman, komersial, industri, pertanian dan kategori khas lain.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, beliau juga akan mematuhi arahan Setiausaha Agung DAP supaya tidak membicarakan isu berkenaan dalam media bagi mengelakkan persepsi dan kesan negatif kepada pihak parti, barisan kepemimpinan serta Kerajaan Pulau Pinang secara keseluruhan.

Beliau juga ingin menyeru pemilik-pemilik tanah yang terkesan supaya terus mengemukakan rayuan ke Pejabat-pejabat Daerah dan Tanah dalam negeri, serta Pejabat Pengarah Tanah dan Galian di Komtar.

Terdahulu, Guan Eng dilaporkan berkata, beliau tidak akan membuat sebarang kenyataan awam atau sidang media berhubung kontroversi kenaikan cukai tanah di Pulau Pinang.

Penasihat DAP itu berkata demikian susulan inisiatif Loke yang mahu mengadakan pertemuan antara Guan Eng dengan Kon Yeow bagi menyelesaikan isu terbabit.

“Sehingga pertemuan antara kami bertiga diadakan, saya tidak akan membuat sebarang kenyataan awam atau mengadakan sidang media bagi pihak pemilik tanah yang terkesan dengan kenaikan melampau ini,” kata Ahli Parlimen Bagan itu dalam hantaran melalui media sosial, malam tadi.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment