Kakitangan TH terima bonus tinggi

KUALA LUMPUR 29 Julai – Pemberian bonus yang tinggi kepada kakitangan Lembaga Tabung Haji (TH) sepanjang tempoh 2014 hingga 2017, adalah tidak wajar kerana isu kewangan yang dihadapi ketika itu.

Menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) kedudukan kewangan TH bagi tempoh 2014 hingga 2017 menunjukkan nilai aset lebih rendah daripada liabiliti sebagaimana dilaporkan dalam penyata kewangan tahunan dan diakui Jabatan Audit Negara (JAN).

Dalam laporan yang didedahkan, hari ini, RCI berkata, keadaan berkenaan membuktikan pemberian bonus dalam jumlah tinggi kepada kakitangan TH tidak sepatutnya dilaksanakan.

“Suruhanjaya berpendapat, mengambil kira isu kewangan dihadapi TH bermula 2014 hingga 2017 yang mana nilai aset adalah lebih rendah daripada liabiliti seperti yang dilaporkan dalam penyata kewangan tahunan dan diakui oleh JAN, pemberian bonus dengan jumlah yang tinggi oleh TH adalah tidak wajar,” katanya.

Menurut laporan berkenaan, pemberian bonus tinggi itu berlaku kerana TH membuat penilaian aset berdasarkan ‘Realisable Asset Value’ (RAV), sekali gus menunjukkan institusi berkenaan mencatat keuntungan besar sepanjang tempoh berkenaan.

Laporan itu turut mendedahkan bahawa kadar bonus dibayar kepada kakitangan TH antara 2010 hingga 2017 adalah amat tinggi, antara dua hingga 13 bulan gaji, termasuk bonus tahunan dan bonus khas.

Menurut RCI, cadangan pemberian bonus luar biasa pada 2014 membabitkan bonus tahunan antara satu hingga 11 bulan gaji serta bonus khas dua bulan gaji, menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 13 bulan gaji dengan implikasi kewangan sebanyak RM74 juta.

Suruhanjaya berkata, justifikasi diberikan bagi pembayaran bonus tinggi itu ialah keuntungan besar yang direkodkan TH, dengan kadar bonus dicadang berdasarkan antara 1.7 hingga 2.5 peratus daripada keuntungan semasa.

“Kementerian Kewangan (MOF) dalam penjelasannya memaklumkan kelulusan pemberian bonus oleh Menteri Kewangan kepada TH melebihi dua bulan adalah tertakluk kepada pertimbangan dan budi bicara Menteri Kewangan.

“Ini mengambil kira antara lain, prestasi kewangan TH, aktiviti operasi dan perbelanjaan tanggungan TH, prestasi pelaburan TH berbanding tahun-tahun sebelumnya dan juga prestasi anggota TH dari segi produktiviti serta implikasi kewangan yang terlibat bagi pembayaran bonus, juga mengambil kira perakuan Lembaga dan Menteri Hal Ehwal Agama,” menurut laporan itu.

RCI menjelaskan proses kelulusan bonus dibuat melalui tiga peringkat, iaitu Lembaga Pengarah TH, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan MOF, namun lazimnya kedua-dua pihak hanya menerima syor yang dikemukakan pengurusan TH dan Lembaganya.

Pada masa sama, katanya, MOF memaklumkan kelulusan pembayaran bonus melebihi dua bulan gaji tertakluk kepada pertimbangan dan budi bicara Menteri Kewangan dengan mengambil kira prestasi kewangan, operasi, pelaburan, produktiviti kakitangan serta implikasi kewangan pembayaran bonus.

Bagaimanapun, bermula tahun kewangan 2018, pemberian bonus kepada kakitangan TH dikawal mengikut kemampuan kewangan institusi itu.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment