27 timbalan menteri angkat sumpah

KUALA LUMPUR 10 Dis. –  Seramai 27 timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di sini, hari ini.

Semua timbalan menteri itu melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia, sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan isteri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut hadir menyaksikan majlis Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia yang bermula pukul 3 petang.

Turut hadir, dua Timbalan Perdana Menteri, iaitu Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Fadillah Yusof yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi.

Hadir sama Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Affendi Buang.

Semua timbalan menteri di bawah Kerajaan Perpaduan itu mengangkat sumpah jawatan, susulan pengumuman senarai timbalan perdana menteri oleh Anwar malam tadi.

Pada istiadat itu, timbalan-timbalan menteri itu dibahagikan kepada empat kumpulan dengan kumpulan pertama dimulai oleh dua Timbalan Menteri Kewangan iaitu Setiausaha Agung UMNO  Ahmad Maslan dan Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Steven Sim Chee Keong.

Related posts

Leave a Comment