KUALA LUMPUR 3 Mac – Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) akan bermesyuarat pada 14 Mac ini bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan perjalanan gabungan itu termasuk memutuskan Ketua Pembangkang di Parlimen.
Timbalan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, berkata notis makluman sudah dihantar kepada ahli-ahli Majlis Tertinggi PN berhubung mesyuarat pada Sabtu minggu depan mulai pukul 11 pagi.
“Notis sudah pun dikeluarkan kepada semua ahli-ahli mesyuarat ahli majlis tertinggi,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Terdahulu Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin menggesa pimpinan Pas segera menamakan Ketua Pembangkang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin, memandangkan ia membabitkan imej dan maruah PN.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut sudah tidak lagi menjadi ahli Bersatu dan PN kerana dipecat keahliannya dalam parti, sekali gus tidak berhak untuk terus memegang jawatan itu.
“Datuk Seri Hamzah sepatutnya rasa malu sebab tak ada locus standi, keabsahan tu boleh dipersoalkan,” katanya dalam satu wawancara bersama media tempatan.
Jelasnya, sebelum ini Hamzah menjadi Ketua Pembangkang kerana dicalonkan parti dan beliau tidak lagi layak untuk berada di posisi tersebut.
“Maka kita cadangkan Pas kerana Pas mempunyai kerusi terbanyak, itu dah dipersetujukan. Jadi maknanya, kita serahkan pada Pas untuk buat keputusan segera.
“Tapi pasal ada yang menyatakan, Speaker kata setakat ini, Hamzah adalah Ketua Pembangkang. Memanglah kalau tak ada nama baru naik (cadangan), dia duduk kat situlah.
“Keduanya, kalau dia sedar bahawa dia tidak berhak duduk kat situ, harus letak jawatan, berhenti, kosongkan kerusi. Beritahu pada Speaker, saya tidak jadi Ketua Pembangkang lagi. Ini isu yang seharusnya diselesaikan dalam tempoh segera,” katanya.
Ditanya sama ada pendiriannya bercanggah dengan sokongan 13 ahli Parlimen Bersatu untuk mengekalkan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang, Muhyiddin menyatakan ia hanyalah pandangan ahli Parlimen, bukan keputusan parti.
Nnnn
