SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memutuskan tempoh larangan bagi mengerjakan Solat Jumaat dan solat lima waktu di masjid-masjid dan surau-surau dilanjutkan sehingga 30 Jun kecuali di 39 buah masjid yang telah dibenarkan sebelum ini dengan jumlah bilangan yang telah ditetapkan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Istana Alam Shah hari ini, baginda masih bimbang dengan risiko jangkitan jika kawalan dilonggarkan mengakibatkan nyawa rakyat di Negeri Selangor ini akan turut terancam.
Bagaimanapun, semakan semula akan dibuat selepas minggu pertama bulan Jun dan jika penularan wabak Covid-19 ini didapati menurun secara konsisten, pertimbangan akan dibuat bagi membolehkan jumlah jemaah ditambah dan masjid-masjid dibuka lebih awal khususnya di kawasan yang dikategorikan zon hijau.
Sebelum ini, berikutan penurunan kadar jangkitan, pada 14 Mei, Baginda telah memberi perkenan agar Solat Jumaat boleh didirikan di 39 buah Masjid terpilih di Negeri Selangor dengan jumlah yang dibenarkan hadir tidak melebihi 12 orang yang terdiri daripada kalangan pegawai dan ahli jawatankuasa masjid sahaja.
Bagi memastikan keadaan pulih dan umat Islam boleh kembali mengimarahkan masjid-masjid, Baginda menyeru agar rakyat terus mengamalkan penjarakan sosial, memakai penutup muka dan mematuhi setiap arahan dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak JAIS.
“Keputusan larangan mengerjakan Solat Jumaat dan solat lima waktu di masjid-masjid dan surau-surau ini merupakan satu keputusan yang amat sukar dan berat bagi Baginda untuk memutuskannya.
“Baginda turut memahami keluh kesah rakyat jelata yang tidak dapat menunaikan ibadat di masjid-masjid selama tempoh 12 minggu setakat ini. Namun demikian keputusan ini terpaksa dikeluarkan demi memastikan penularan jangkitan wabak berbahaya COVID-19 dapat dibendung dan dikawal,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, Baginda Sultan Selangor sentiasa memantau rapat data-data terkini penularan wabak Covid-19 termasuk kes-kes baharu jangkitan di Negeri Selangor yang telah menunjukkan aliran penurunan.
Kenyataan itu juga mengingatkan, sebagai melaksanakan tuntutan fardhu kifayah, azan waktu solat akan tetap berkumandang dan solat fardhu lima waktu tetap dilakukan oleh seramai 3 orang yang terdiri daripada imam, bilal dan siak di masjid-masjid dan surau-surau di Negeri Selangor.
Program-program ceramah melalui media sosial juga tetap terus dijalankan.