KUALA LUMPUR 3 Mac – Kewujudan gerakan terancang yang didakwa bertujuan mempertikai kerajaan sedia ada, adalah didorong siasatan rasuah berskala besar yang sedang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika mendedahkan demikian berkata, siasatan awal mendapati rancangan berkenaan telah dirangka sejak Ogos tahun lalu dengan garis masa sehingga pilihan raya umum akan datang.
Katanya, perancangan itu melibatkan dana besar, didukung warga tempatan dan disusun dengan strategi untuk mempertikai usaha kerajaan, termasuk melalui platform antarabangsa.
“Daripada rekod diperoleh, terdapat sekurang-kurangnya enam pertemuan pada tahun 2025 di dalam dan luar negara melibatkan syarikat, badan serta tokoh tertentu,” katanya pada sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Shahidan Kasim (PN-Arau) yang meminta Perdana Menteri menyatakan status siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan, ancamannya terhadap demokrasi berparlimen serta sama ada siasatan melibatkan unsur penyelewengan atau penyalahgunaan wang negara.
Menurut Anwar, strategi gerakan berkenaan termasuk mendapatkan maklumat melalui ‘international round table‘, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, serta menghubungi media asing bagi membina naratif yang mempertikai kewibawaan kerajaan dan negara.
“Yang mendorong kegiatan ini adalah kerana siasatan rasuah oleh SPRM yang berskala besar. Itu yang menyebabkan mereka bertindak menggunakan kekuatan pengaruh luar dan dalam negara,” jelasnya.
Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa berdasarkan dokumen yang diperoleh, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan.
Menjawab soalan tambahan Shahidan, Perdana Menteri juga mendedahkan gerakan itu bukan hanya melibatkan pihak luar negara yang bersekongkol dengan warga tempatan, malah ada pembabitan secara langsung kelompok Zionis terkemuka.
Katanya, semua pihak perlu memberi sedikit masa lagi untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) melengkapkan siasatannya, sebelum maklumat itu dapat dikongsi kepada umum, jika bersesuaian termasuk kepada Ahli Parlimen.
Sebelum ini, PDRM memaklumkan sedang menyiasat seorang individu berpengaruh dan agensi media antarabangsa berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan serta melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara.
Siasatan itu dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan.
“Strategi mereka seperti mana disebut sebahagiannya tadi, dari rekod syarikat antarabangsa berkenaan, yang menyebut umpamanya untuk menghubungi semua media asing dengan strategi mempertikai usaha kerajaan khususnya SPRM.
“Kemudian menggunakan kekuatan dan ‘contact’ dengan negara-negara luar dengan tujuan beri naratif mempertikai kewibawaan Malaysia dan kerajaan serta mengatur gerakan melalui Parlimen Malaysia. Ini yang membimbangkan kita,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan tentunya memandang serius cubaan ini dan jika diizinkan, Jabatan Peguam Negara, agensi penguatkuasaan serta Majlis Keselamatan Negara (MKN), boleh berkongsi maklumat mengenainya kepada wakil rakyat.
“Sebaik ada maklumat tambahan dan diizinkan Jabatan Peguam Negara, PDRM dan badan-badan penguatkuasaan, kalau perlu saya boleh memanggil untuk MKN boleh selaraskan satu perjumpaan dengan wakil-wakil kerajaan dan pembangkang.
“Kerana bagi saya ini tidak terikat dengan parti, tetapi soal keselamatan atau ‘national security’. Kita tahu Malaysia, seperti mana yang Yang Berhormat pembangkang bersama semalam dalam kes seperti kecaman kita terhadap Israel dan Amerika Syarikat (AS), itu satu-satu negara. Saya teliti seluruh liputan media, Malaysia di antara yang paling keras,” katanya.
Nnnn
