KUALA LUMPUR 1 Mac – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menolak jemputan untuk menghadiri majlis iftar bersama Jawatankuasa Rumah Bangsa anjuran UMNO yang dijadualkan pada 5 Mac ini, kata Presidennya Dr Ibrahim Ali.
Beliau berkata, Putra menghormati dan berterima kasih atas jemputan itu yang turut melibatkan parti-parti politik lain lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan tetapi terpaksa mengambil langkah berhati-hati supaya tidak timbul pelbagai persepsi.
Katanya, keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Ahli Dewan Tertinggi (ADT) semalam dan berharap pendirian itu tidak disalah faham.
Ibrahim berkata, menurut surat jemputan itu, agenda dijadual bermula pukul 5 petang, yang meliputi perbincangan mengenai pelaksanaan Islam dalam dasar kerajaan serta agenda Bumiputera dalam ekonomi dan pendidikan.
“Dua agenda tetapi jemputan mulai pukul 5 petang dan masanya hanya satu jam setengah, dengan tahlil dan majlis buka puasa, apa yang boleh dibincang dalm tempoh masa satu jam itu.
Apabila Putra hadir nanti akan keluar berita bahawa parti-parti politik yang hadir itu sudah menyokong Rumah Bangsa anjuran UMNO atau mendapat sokongan parti-parti yang hadir,” katanya pada sidang media semalam.
Ibrahim berkata, Putra tidak mahu terperangkap dengan agenda politik UMNO, dan akan tetap bersama Payung Besar dengan penyertaan Perikatan Nasional (PN) serta diketuai bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pada masa yang sama beliau menegaskan jika UMNO ikhlas mahu menyokong perpaduan Melayu, parti itu sepatutnya hadir bersama gagasan Payung Besar.
Ibrahim mengingatkan, tidak semuanya perlu diterajui UMNO termasuk soal perpaduan Melayu kerana UMNO yang ada pada hari ini bukan seperti UMNO terdahulu yang tidak bekerjasama dengan DAP.
“Biarlah Putra tidak hadir tetapi jangan salah faham, Putra walaupun kecil dan kerdil tetapi istiqamah, bersemangat dan tidak mahu terperangkap dengan apa yang tersirat di sebalik majlis itu,” katanya.
Ibrahim sejak awal lagi sebelum ini menegaskan berpendirian Putra bahawa penyatuan ummah tidak wajar diterajui oleh parti atau individu yang mempunyai rekod rasuah serta kekurangan integriti.
Beliau mendakwa, UMNO bukan lagi rumah besar orang Melayu sebaliknya diibaratkan rumah lama yang atapnya bocor, reput dindingnya dan dipenuhi anai-anai politik wang akibat terlalu lama berkuasa sehingga rasuah menjadi kebiasaan.
Katanya , realiti politik semasa tidak boleh dinafikan apabila keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) membuktikan hampir 70 peratus pengundi Melayu menyokong PN dengan Pas memenangi 43 kerusi Parlimen dan Bersatu 32 kerusi.
“Sokongan itu adalah suara akar umbi kampung, masjid dan warung kopi, bukannya suara broker projek, sekali gus mencerminkan kehendak majoriti orang Melayu,” katanya
Justeru Ibrahim menyifatkan UMNO seperti ‘ayam jantan tua’ yang kokoknya masih kuat namun taji telah patah.
Sehubungan itu katanya, Putra menolak untuk menyokong jenama lama seperti Muafakat Nasional atau Rumah Bangsa yang dakwanya hanya berfungsi sebagai talian hayat kepada kelompok berkepentingan dan individu.
Nnnnn
