NILAI 1 Mac . – Ahli Parlimen Pas wajar mengambil alih jawatan ketua pembangkang di Dewan Rakyat berikutan parti itu mempunyai bilangan wakil rakyat paling ramai, kata Presiden Bersatu , Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, kedudukan ketua pembangkang dibangkitkan dan dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang diadakan di Ibu Pejabat Pas pada 19 Februari lalu.
Menurut Muhyiddin, terdapat kekosongan untuk jawatan ketua pembangkang kerana Hamzah Zainudin tidak lagi menjadi ahli Bersatu serta PN dan tidak sewajarnya dikekalkan di situ.
“Pas sesuai untuk mengambil tempat itu secepat mungkin. Itu telah diputuskan. (Setakat ini), saya belum dapat maklumat terkini, jadi saya nak tunggu daripada pimpinan Pas sama ada sudah ada keputusan,” katanya selepas Program Rahmat Ramadan Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Negeri Sembilan, di sini malam ini.
Sebelum ini Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan, berkata kedudukan Hamzah sebagai ketua pembangkang setakat ini kekal, dengan tempat duduk Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat itu juga tidak berubah dan sudah memaklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Dr Johari Abdul.
Pas sebelum ini memaklumkan calon dari partinya akan dilantik sebagai ketua pembangkang baharu bagi menggantikan Hamzah.
Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, jika pimpinan Pas sudah mempunyai calon yang sesuai untuk mengisi jawatan ketua pembangkang, parti itu perlu memaklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat.
“Jadi kita tunggulah, mungkin dalam masa sehari dua ini, saya tak tahu. Kalau ikut kehendak parti, kita dah buat keputusan tapi nama itu belum ada dan kita beri masa dia (Pas) buat keputusan dan bagi hak itu kepada parti berkenaan,” katanya.
