PUTRAJAYA 5 Jun – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 12 Jun ini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkaitan urusan Pilihan Raya Umum Dewan Negeri Johor Ke-16.
Setiausaha SPR, Khairul Shahril Idrus, berkata mesyuarat khas itu akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Ramlan Harun, bagi membincangkan tarikh seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon dan hari pengundian.
Katanya, mesyuarat juga akan membincangkan mengenai daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya berkenaan.
Menerusi satu kenyataan, beliau berkata SPR sudah menerima notis daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Dr Mohd Puad Zarkashi, berhubung pembubaran Dewan Negeri Johor ke-15 pada 2 Jun 2026 sebagaimana termaktub di bawah Fasal 23 (2) Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.
“Berdasarkan Fasal 23 (4) Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 berkehendakkan suatu pilihan raya umum diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Dewan Negeri terbabit,” katanya.
Khairul Shahril dalam satu kenyataan berasingan berkata, urusan permohonan undi pos dalam dan luar negara bagi Pilihan Raya Umum Dewan Negeri Johor Ke-16 sudah dibuka mulai hari ini.
Katanya, ia membabitkan permohonan undi pos bagi semua kategori iaitu Kategori 1A (Anggota Polis, Anggota Tentera, Petugas Pilihan Raya, Ahli/Pegawai SPR, dan Petugas Media), Kategori 1B (warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara), dan Kategori 1C (agensi/organisasi).
“Semua permohonan undi pos hendaklah dibuat secara dalam talian (online) di pautan https://myspr.spr.gov.my dan pemilih yang layak serta berhasrat untuk mengundi secara pos hendaklah mendaftar atau mempunyai akaun MySPR sebelum membuat permohonan untuk mengundi secara pos.
“Tarikh tutup permohonan undi pos bagi semua kategori akan dimaklumkan kelak. Untuk sebarang pertanyaan atau keterangan lanjut, sila hubungi talian 03-88927080 atau e-mel ke upup@spr.gov.my,” katanya.
