Persekutuan kekal iktiraf Muhriz

PUCHONG 5 Jun – Kerajaan Persekutuan akan terus berkhidmat kepada Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, kata Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, pendirian rasmi kerajaan itu dibuat mengikut saluran perundangan dan perlembagaan biarpun terdapat usaha memasyhurkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar, menggantikan Tuanku Muhriz.

Justeru Anwar turut memohon supaya sebarang pandangan lain mengenai isu berkenaan perlu dibuat mengikut saluran sah mengikut perlembagaan bagi mengelakkan keresahan dalam kalangan rakyat.

Ini kerana, katanya, menggugurkan atau memakzulkan mana-mana raja akan memberikan implikasi sangat besar terhadap negara dan keamanan tanah air.

“Krisis di Negeri Sembilan tentunya sedikit menggusarkan kerana institusi Raja ada peraturan, kaedah dan cara kemuliaannya. Jika digugat begini rupa, ia mesej yang sangat tidak baik.

Saya tidak menafikan hak sesiapa ikut saluran undang-undang dan perlembagaan negeri tetapi hujah harus kuat. Sebab ini kita pandang berat dan saya sudah memberi pandangan ini kepada pihak berkenaan

Kita harus ikut saluran mahkamah yang buat keputusan tadi dan dan kita juga sudah beri nasihat tetapi diteruskan pengisytiharan di hotel,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Meranti di sini, hari ini.

Terdahulu, Tunku Nadzaruddin dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dalam majlis yang berlangsung di sebuah resort di Melaka.

Pemasyhuran itu diisytiharkan dalam majlis ringkas oleh Undang Luak Jelebu,  Maarof Mat Rashad yang mewakili Undang Yang Empat.

Pada April lalu, empat undang, termasuk Mubarak Thahak (Sungai Ujong) yang kedudukannya dipertikai, mengumumkan pemecatan Tuanku Muhriz dan mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu, berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun bagaimanapun menegaskan pemecatan Tuanku Muhriz tidak sah dan tidak diiktiraf atas alasan Mubarak tiada kuasa sah sebagai Undang.

Sementara itu di KUALA PILAH Tuanku Muhriz berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Kariah Gunung Pasir, Seri Menanti.

Keberangkatan baginda diiringi kedua-dua anakanda, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin serta Tunku Zain Al-‘Abidin.

Solat diimamkan oleh Imam 1 Masjid Kariah Gunung Pasir, Wan Muhammad Saifuddin Wan Salim.

Selesai menunaikan solat Jumaat, baginda turut berkenan berangkat ke majlis santapan tengah hari bersama rakyat di Luak Tanah Mengandung.

Kira-kira 500 orang hadir menyertai majlis berkenaan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment