SEPANG 6 Jun – Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP malam tadi memutuskan Persidangan Kebangsaan DAP 2026 yang dijadualkan pada 12 Julai 2026 ditangguhkan sehingga 16 Ogos 2026.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, penangguhan itu mengambil kira pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan DUN Negeri Sembilan dan Pilihanraya Negeri yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari 1 Jun 2026.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata, DAP akan mempertahankan semua kerusi penyandang di Johor dan Negeri Sembilan pada PRN itu.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan bertanding di beberapa kerusi tambahan di Johor tertakluk kepada keputusan rundingan secara muktamad dengan parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) menjelang hujung minggu ini.
Katanya, sebuah Jawatankuasa Pemilihan Calon yang turut dianggotainya ditubuhkan bagi proses pemilihan calon untuk mewakili DAP.
Turut serta Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo, Timbalan Pengerusi Kebangsaan Nga Kor Ming, Ketua Wanita DAP yang juga Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching dan Ketua Parlimen DAP, Chong Chieng Jen.
Mesyuarat juga menyokong pembentangan RUU Pengasingan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang telah dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas dalam Persidangan Dewan Rakyat bermula 22 Jun akan datang.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk memastikan sokongan undi belah bahagi dari kesemua 40 Ahli Parlimen DAP serta menyeru semua Ahli Parlimen untuk memastikan Pindaan Perlembagaan yang bersejarah ini dapat direalisasikan
“DAP terus komited untuk mendokong agenda reformasi institusi dalam kerajaan dan akan berkempen secara bersungguh-sungguh dalam Pilihanraya Negeri Johor dan Negeri Sembilan demi kemenangan Pakatan Harapan,” katanya.
Nnnnn.
