Muhyiddin tidak terkesan ‘amaran’ Hamzah

NILAI 1 Mac  – Presiden Bersatu  Muhyiddin Yassin tidak terkesan dengan kenyataan Ahli Parlimen Larut,  Hamzah Zainuddin yang menganggapnya sebagai musuh utama selepas pemecatan baru-baru ini.

“Saya tak kisah kalau dia kata saya musuh nombor satu atau nombor 10 kerana dulu dia pernah kata penyokong nombor satu saya,” katanya yang turut menegaskan bekas Timbalan Presiden Bersatu itu ternyata telah melanggar perlembagaan parti.

Beliau juga tidak berharap apa-apa lagi terhadap Hamzah kerana sudah dipecat daripada Bersatu.

Muhyiddin dalam pada itu mengakui tidak gembira dengan pemecatan pemimpin  dalam parti itu, tetapi menegaskan ia terpaksa diambil demi kepentingan perjuangan dan masa depan Bersatu.

“Saya tak gembira dengan perkara ini (pemecatan pemimpin) kerana mereka sepatutnya berjuang bersama, tetapi mereka telah menyimpang jauh dari apa yang sepatutnya,” katanya pada Majlis Rahmat Ramadan Bersatu Negeri Sembilan, di sini malam tadi.

Katanya,  parti tiada pilihan lain selain mengambil tindakan disiplin terhadap mereka.

“Parti ada peraturan, ada perlembagaan, kalau melakukan perkara yang bertentangan dengan peraturan parti, itu tak boleh dibiarkan.

Agak malang sekali dipecat kerana mereka kalangan pemimpin tertinggi parti, berada dalam kedudukan yang baik dalam parti, yang sepatutnya membantu menguatkan parti, tetapi (mereka) telah merosakkan parti.

“Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) terpaksa ambil langkah bagi mencegah ‘penyakit-penyakit’ ini kerana ia perlu dihentikan. Sebab itu tindakan disiplin diambil terhadap timbalan presiden dan mereka yang lain,” katanya.

Pada 13 Februari lalu, parti memecat keahlian Hamzah dan 16 yang lain kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau tidak mempunyai maklumat mengenai kemungkinan akan ada lagi senarai pemimpin Bersatu akan dipecat kerana perkara itu di bawah urusan Lembaga Disiplin parti.

“Saya tak tahu kerana urusan itu di bawah Lembaga Disiplin yang mana peraturannya, jika ada ahli didapati melanggar perlembagaan atau melakukan sesuatu yang tidak sewajarnya, maka boleh melaporkan kepada Lembaga Disiplin. Itu adalah prosedurnya.

“Lembaga Disiplin, apabila menerima laporan, akan mengkajinya terlebih dahulu sebelum memanggil individu terbabit atau terus menjatuhkan hukuman,” katanya.

Related posts

Leave a Comment