JOHOR BAHRU 26 Jun – Parti Bersama Malaysia (Bersama) hari ini mengumumkan senarai 15 calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor yang ditetapkan 11 Julai ini.
Pengumuman dibuat oleh presiden parti itu, Syukri Razab pada Majlis Pengumuman Calon Bersama dan Pelancaran Trak Kancil PRN Johor, di Kampung Baru Majidee, dekat sini malam ini.
Pemimpin Bersama, Rafizi Ramli berkata, barisan calon yang dipilih telah melalui proses saringan yang ketat dan terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk aktivis kemasyarakatan, usahawan, doktor, arkitek serta peguam.
“Individu yang memohon seramai 73 orang dan sebahagiannya adalah sangat berkelayakan. Bagaimanapun kita tapis dan lalui proses itu bagi memastikan hasrat Bersama masuk dalam pilihan raya di Johor buat kali pertama ini.
“Kita nak tunjukkan bahawa dalam memilih calon, paling penting mereka ada latar belakang yang baik, ada potensi untuk jadi pemimpin dan kita nak pastikan mereka boleh bawa suara rakyat biasa.
“Kami tak perlukan ahli politik lagi ramai dalam Bersama. Apa yang kita perlukan ialah orang biasa daripada kalangan rakyat biasa supaya bila mereka masuk dan kalau ditakdirkan ‘we have miracles’ tiba-tiba ada calon kita menang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Pengumuman Calon dan Pelancaran Trak Kancil di Kampung Baru Majidee, Johor Bahru pada Jumaat.
Sebelum ini, Bersama berkata pemilihan kerusi dibuat berdasarkan demografi pengundi dan kecenderungan pengundian, hasil dapatan kaji selidik serta data yang dikumpulkan sepanjang enam bulan lalu.
Ia turut mengambil kira tahap sokongan terhadap parti itu setakat ini, menerusi jumlah keahlian di peringkat kawasan Parlimen, kecenderungan ahli di kawasan berkenaan, dan kesesuaian calon.
Berikut senarai calon Bersama:
- N14 Bukit Naning – Iskandar Md Alias
- N29 Mahkota – Abd Hamid Ali
- N40 Tiram – Harith Fakhrudin Abd Malek
- N41 Puteri Wangsa – Nicholas Paul Vincent
- N42 Johor Jaya – Lau Yi Leong
- N43 Permas – Dr Zamil Najwah
- N44 Larkin – Norsinah Abu
- N45 Stulang – Stanley Tan
- N46 Perling – Boo Wei Han
- N47 Kempas – Salamahafifi Mohd Yusnaieny
- N48 Skudai – Eugene Chua Meng Chong
- N49 Kota Iskandar – Sahrudin Omar
- N50 Bukit Permai – Muhammad Aidil Riduan Mohd Yusof
- N51 Bukit Batu – Tamili Gopalakrishnan
- N52 Senai – Tew Chian How
Nnn
