9SEPANG – Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh bertanyakan kepada Datuk Seri Nazri Abdul Aziz adakah bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) itu mewakili sebahagian besar suara orang Melayu di negara ini.
Beliau menimbulkan persoalan itu selepas Nazri yang juga Ketua UMNO Padang Rengas menyifatkan pandangan Pemuda UMNO hanya mewakili sebahagian kecil suara orang Melayu dan tidak perlu dihiraukan.
“Jika kami ini dianggap hanya mewakili sebahagian kecil suara orang Melayu, saya nak tanya juga, adakah kamu mewakili sebahagian besar suara orang Melayu?
“Mungkin kamu dah lupa yang kamu bukan berada di Amerika lagi sebab kontrak tidak disambung.
“Saya nak ingatkan bahawa kamu kini berada di Malaysia yang majoritinya adalah bangsa Melayu dan agama Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Terdahulu, Nazri ketika menyentuh mengenai peranan Ketua Pemuda UMNO itu berkata, pandangan Akmal tidak mencerminkan keseluruhan parti kerana hanya mewakili satu daripada empat sayap utama UMNO.
“Dalam UMNO, kita ada Pemuda, Wanita, Puteri dan UMNO induk. UMNO dalam parlimen hanya ada 26 kerusi, dan Akmal hanya mewakili satu perempat daripada UMNO. Perlukah kita bimbang bahawa semua ahli UMNO berfikir seperti dia?
“Atau adakah semua orang Melayu berfikir seperti dia,” soal Nazri dalam satu wawancara bersama malaysiakini.
Nazri diminta mengulas tanggapannya terhadap Akmal yang sering mengambil pendirian lebih keras berbanding Zahid dalam beberapa isu yang menjejaskan hubungan dengan parti dalam kerajaan, terutamanya DAP.
Dalam pada itu, Dr Akmal juga mengingatkan Nazri bahawa sayap Pemuda UMNO bukan golongan penjilat demi kepentingan peribadi sebaliknya menjadi tanggungjawab Pemuda UMNO untuk mempertahankan agama dan bangsa.
“Maaf Datuk Seri, kami Pemuda bukan penjilat untuk mencari makan. Kami ada tanggungjawab untuk menjaga agama dan bangsa daripada sibuk menjilat untuk kepentingan diri. Jika kamu nak menjilat, silakan. Jangan samakan kamu dengan kami.
“Mana tahu, lepas ini boleh dapat jadi duta ke Myanmar pula,” sindirnya.
Nnnnn
