Hari Bekerja Hibrid mulai 1 Ogos

PUTRAJAYA 26 Jun  – Mulai 1 Ogos depan, Jemaah Menteri bersetuju Hari Bekerja Hibrid (HBH) dilaksanakan sebagai norma baharu dalam perkhidmatan awam.

HBH membolehkan penjawat awam bekerja dua hari di rumah atau lokasi alternatif yang diluluskan oleh Ketua Jabatan, dan tiga hari di pejabat, tertakluk kepada keperluan perkhidmatan, kesesuaian fungsi serta syarat ditetapkan.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), pelaksanaan itu akan menggantikan pengaturan Bekerja Dari Rumah (BDR) Konflik Asia Barat yang sedang berkuat kuasa.

“Penjawat awam boleh bekerja dua hari di rumah atau lokasi alternatif yang diluluskan oleh Ketua Jabatan, dan tiga hari di pejabat tertakluk kepada keperluan perkhidmatan, kesesuaian fungsi serta syarat ditetapkan.

HBH ialah satu inisiatif baharu kerajaan mengenai pengaturan kerja yang lebih fleksibel untuk penjawat awam tanpa mengurangkan waktu bekerja,” menurut kenyataan JPA.

JPA memaklumkan bahawa pelaksanaan HBH tidak akan menjejaskan penyampaian perkhidmatan penting (essential services) kerajaan kepada rakyat.

Menurutnya, perkhidmatan kaunter serta fungsi yang memerlukan kehadiran fizikal akan terus beroperasi seperti biasa, termasuk sektor keselamatan, pertahanan, pendidikan, kesihatan dan mahkamah.

Bagi negeri-negeri Hari Kelepasan Mingguan (HKM) pada Ahad, JPA memaklumkan bahawa Isnin dan Jumaat ditetapkan sebagai hari kehadiran wajib ke pejabat.

Bagi negeri yang menetapkan HKM pada Jumaat membabitkan Kedah, Kelantan dan Terengganu pula, Ahad dan Khamis ialah hari kehadiran wajib ke pejabat.

Garis panduan dan syarat pelaksanaan HBH akan dikeluarkan oleh JPA dalam masa terdekat.

JPA memaklumkan, inisiatif HBH adalah sebahagian daripada agenda reformasi berterusan kerajaan dalam memodenkan perkhidmatan awam melalui amalan kerja berorientasikan hasil serta pemanfaatan teknologi digital.

Sistem pemantauan akan dilaksana bagi memastikan integriti, prestasi dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat berada pada tahap terbaik.

Kaedah bekerja secara hibrid turut dilaksanakan di negara seperti Singapura, Australia, Finland dan Sweden.

NNNN

Related posts

Leave a Comment