SEPANG 28 Feb. – Pembangkang mendesak Kerajaan menambah baik Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) berkaitan pemisahan kuasa antara Pendakwa Raya dan Peguam Negara, serta pengenalan had tempoh jawatan Perdana Menteri.
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata, penambahbaikan itu berasaskan prinsip pemisahan kuasa yang tulen, kebebasan institusi kehakiman dan pendakwaan, serta memelihara budi bicara Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Hamzah dalam kenyataannya berkata keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Khas Ahli Parlimen Pembangkang pada 26 Februari lalu telah meneliti RUU berkaitan dan berpandangan, Kerajaan hendaklah melakukan pindaan dalam kedua-dua RUU itu sebelum dibentang dan diputuskan oleh Dewan Rakyat.
Katanya, berkaitan pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara, RUU ini mestilah menjadikan kedua-dua institusi ini benar-benar bebas daripada sebarang campur tangan dalam melaksanakan bidang kuasanya, tertakluk kepada mekanisme akauntabiliti yang jelas dan telus.
“Kerajaan hendaklah memperkenalkan mekanisme yang bebas dan berwibawa dalam urusan pelantikan dan pemberhentian Pendakwa Raya, sama ada melalui penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang bersifat dwipartisan, atau kaedah lain yang setara dari segi kebebasan, ketelusan dan keabsahannya.
Jawatankuasa Khas Parlimen tersebut hendaklah mempunyai kedudukan dan autoriti setaraf dengan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.
Ini termasuk kuasa memanggil dan menghadapkan Pendakwa Raya atau Peguam Negara dalam prosiding tertentu yang menyentuh isu dasar pendakwaan serta pematuhan prinsip kedaulatan undang-undang tanpa menjejaskan prosiding kes perundangan yang sedang berjalan,” kata Hamzah.
Selain itu, pembangkang menggesa agar pindaan Perlembagaan ini turut mempertimbangkan peruntukan yang membolehkan semakan kehakiman (judicial review) terhadap keputusan berkaitan kuasa pendakwaan oleh Pendakwa Raya serta pelaksanaan fungsi Peguam Negara, selaras dengan prinsip semak dan imbang dalam sistem demokrasi berparlimen.
Mengenai pindaan Perlembagaan berkaitan had tempoh perkhidmatan Perdana Menteri pula, Kerajaan hendaklah memastikan hak-hak yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan tidak terjejas secara langsung atau tidak langsung.
“Pembangkang menegaskan bahawa sebarang pindaan mestilah tidak membataskan budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk melantik seorang Perdana Menteri di bawah Perkara 40(2)(a), dibaca bersama Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
RUU yang membataskan budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri hanya dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat yang tertentu hendaklah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja selaras dengan Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan terlebih dahulu,”, katanya.
Menurut Hamzah, bagi memastikan pemusatan kuasa Perdana Menteri dapat diimbangi sepanjang tempoh perkhidmatan tersebut, Pembangkang kekal berpendirian bahawa Perdana Menteri tidak boleh memegang jawatan Menteri Kewangan dalam satu masa yang sama.
“Secara dasarnya, Pembangkang berpendirian bahawa langkah-langkah pembetulan institusi bagi memperkukuh amalan semak dan imbang tidak boleh dilaksanakan secara separuh jalan atau bersifat kosmetik,” katanya.
Nnnn
