KUALA LUMPUR 25 Feb . – Tiada sebarang pertemuan Barisan Nasional (BN) bersama Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainudin dan kumpulan pemimpin yang dipecat daripada Bersatu, kata Setiausaha Agung BN, Dr Zambry Abdul Kadir.
Beliau juga mengesahkan tidak menerima sebarang permohonan keanggotaan daripada kumpulan pemimpin terbabit mahupun hasrat menyertai ‘Rumah Baharu’ diperkenalkan Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Konsep Rumah Baharu kita terbuka dan tidak mengehadkan pada kumpulan tertentu. Ia terbuka kepada parti politik dan semua kumpulan dan mungkin juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini.
“Mereka yang memiliki hasrat, visi dan matlamat sama atas nama kesatuan (boleh menyertai konsep Rumah Baharu),” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Sebelum ini terdapat laporan Ketua Pembangkang itu dijangka mengumumkan hala tuju minggu ini, sama ada menganggotai parti politik sedia ada mahupun menubuhkan parti baharu.
Pada 13 Februari lalu, Bersatu memecat 17 ahlinya membabitkan beberapa pemimpin Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu, termasuk empat Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Selain Hamzah, turut dipecat ialah Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad; Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan; Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob.
ADUN dipecat pula dari Sungai Manik yang juga Ahli MPT, Zainol Fadzi Paharudin; ADUN Bemban merangkap Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub dan Setiausaha Bersatu Sabah merangkap Ketua Bersatu Libaran, Yunus Nurdin.
Pemimpin akar umbi dipecat ialah Ketua Bersatu Teluk Intan, Kamaruddin Majid; Ahmad Ishak (Gopeng); Mohd Hassundi Hamzah (Larut); Mhod Yunus Mhd Yusop (Tapah); Ahmad Nasir Mid (Selayang); Zulkifli Bujang (Johor Bahru); Ramlan Meon (Tangga Batu) dan Abdul Aziz Ismail (Dungun).
Turut dikenakan tindakan sama, Ketua Srikandi Muda Bersatu Sabah, Nabila Norsahar dan Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim.
Keahlian mereka dipecat kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu, namun berhak mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat berkenaan dikemukakan.
Ditanya sama ada BN akan meletakkan syarat jika kumpulan pemimpin terbabit mahu menyertai gabungan berkenaan, Zambry yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO bagaimanapun menjelaskan ia bersifat hipotetikal.
Beliau juga menjelaskan, BN ketika ini juga tidak berhasrat untuk memulakan sebarang inisiatif mendekati atau mengajak kumpulan pemimpin dipecat Bersatu itu untuk menyertai gabungan berkenaan.
“Takkanlah kita yang mahu memulakan. Ini urusan mereka, biarlah mereka selesaikan masalah berbangkit terlebih dahulu dan tentunya mereka ada penyelesaian tersendiri,” katanya.
Nnnn
