KUALA LUMPUR 25 Feb. – Stok fizikal beras semasa negara mampu menampung keperluan bagi tempoh 5.45 bulan jika negara dilanda bencana, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Mohamad Sabu.
Beliau berkata stok fizikal beras semasa negara direkodkan sebanyak 1,089,285 tan, merangkumi 200,000 tan stok penimbal beras dan 889,285 tan stok dagangan setakat 3 Februari lalu.
Katanya, bagi berdepan sebarang bentuk bencana, KPKM antara lain turut melaksanakan Projek Rintis Penanaman Padi Lima Musim dalam tempoh dua tahun membabitkan kawasan seluas 3,000 hektar secara berperingkat di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), bermula 2024.
KPKM juga katanya, memperkasa industri lembu pedaging, bertujuan biak baka menerusi Program Peningkatan Ruminan dan Program Pembiakbakaan Ternakan Ruminan melalui teknologi pembiakan berbantu bagi meningkatkan populasi induk pembiak berkualiti dalam negara.
Menjawab soalan Zakri Hassan (PN-Kangar), beliau juga memberitahu, hasil lembu pedaging juga ditingkatkan melalui Program Insentif Galakan Peningkatan Produktiviti Lembu Pedaging ke arah purata kadar kelahiran nasional 60 peratus.
“Kita juga mengeratkan hubungan dengan negara pembekal bahan makanan utama seperti negara ASEAN, China, India, Pakistan, Brazil, Australia, New Zealand dan negara sahabat lain,” katanya
Zakri bertanyakan mengenai kaedah kementerian memastikan kesinambungan bekalan makanan negara ketika bencana seperti banjir dan perubahan iklim berlaku yang menjejaskan pengeluaran hasil.
Mohamad berkata, pelbagai langkah lain turut dibuat sebagai persediaan menghadapi bencana, termasuk membangunkan serta memperluas Sistem Amaran Awal untuk serangan perosak seperti bena perang serta pemantauan cuaca melalui kerjasama dengan Jabatan Meteorologi.
“Selain itu, memperkukuh Pelan Pembangunan Baka dan Benih Akuakultur bagi menghasilkan benih dan induk berdaya tahan terhadap kesan perubahan iklim melalui Program Nucleus Breeding Centre (NBC) serta Broodstock Multiplier Centre (BMC),” katanya.
Menjawab soalan tambahan, beliau berkata, seramai 265 pesawah dengan kawasan sawah musnah disahkan seluas 333.82 hektar, membabitkan tanaman padi berusia (HLT) bawah 70 hari, terjejas dalam bencana banjir di Perlis, pada November lalu.
Beliau berkata, cadangan nilai bantuan kepada pesawah bernilai RM292,426.32 dengan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) dijangka bersidang untuk memperaku dan meluluskan bantuan berkenaan, pada 6 Mac ini.
Ketika ini Jabatan Pertanian negeri sedang melaksanakan siasatan dan penilaian di lapangan berhubung anggaran keluasan 300 hektar sawah terjejas bencana kemarau di Perlis pada awal Februari lalu.
Katanya , bagi bencana pada akhir November hingga Disember lalu, permohonan pertimbangan akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Induk TBTP dengan anggaran permohonan bantuan bernilai RM2.27 juta.
Ia membabitkan 1,163 pesawah di lapan negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perlis Pahang, Kelantan,Terengganu, Perak dan Sarawak dengan keluasan musnah sebanyak 1,690.06 hektar.
Nnnn
