Tun Faisal disaran ‘puasa’ keluar kenyataan

SEPANG 25 Feb. – Ketua Penerangan Bersatu,  Tun Faisal Ismail Aziz disarankan ‘berpuasa’ daripada mengeluarkan sebarang kenyataan membabitkan Perikatan Nasional (PN) yang boleh mengeruhkan keadaan.

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman yang menyarankan demikian berkata, perkara berkaitan parti sepatutnya diuruskan mengikut saluran dalaman bukannya membuat serangan terbuka.

“Saranan saya kepada Ketua Penerangan Bersatu, ada baiknya kita ‘berpuasa’ dari mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan. Hal dalaman, ikut saluran dalaman, bukan serangan terbuka,” katanya.

Menerusi Facebook hari ini, beliau berkata kenyataan Tun Faisal bahawa kelewatan memindahkan ahli Parlimen Bersatu yang dipecat ke blok Bebas boleh menjejaskan kredibiliti PN, tidak perlu dilakukan secara terbuka, sebaliknya mengikut saluran dalaman parti.

“Tugasan kami di Parlimen amat banyak. Isu perjanjian tarif (ART), laporan audit, bajet tambahan, Rang Undang-undang (RUU) Peguam Negara, RUU tempoh dua penggal Perdana Menteri (PM) , isu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), isu Azam Baki, isu ekonomi, isu pendidikan, mafia korporat dan pelbagai isu nasional.

Berbaki empat hari lagi sidang Dewan Rakyat, melihat kepada apa yang ada di atas meja, maka hal-hal yang melibatkan berebut jawatan dan kerusi, tidak menjadi keutamaan kami,” katanya.

Semalam, Tun Faisal menggesa supaya Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat perlu dipindahkan segera ke blok bebas di Dewan Rakyat dan dilucutkan jawatan kuota pembangkang.

Katanya, PN perlu mengambil serius kelewatan pemindahan itu kerana ia melibatkan kredibiliti struktur pembangkang dan disiplin institusi Parlimen.

Mohd Syahir menambah, soal kedudukan di Parlimen itu akan diserahkan kepada pucuk pimpinan, termasuk mengambil kira pandangan Ahli Parlimen di blok pembangkang sebagaimana diperuntukkan dalam Peraturan Mesyuarat 4A(3).

“Pengerusi PN yang baharu pun belum sempat panaskan kerusi. Biar keadaan reda dahulu (Let the dust settle first),” katanya sambil mengesahkan bahawa Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang sudah membincangkan isu kedudukan ketua pembangkang melalui panggilan telefon.

Mohd Syahir berkata, beliau difahamkan isu berkenaan akan diputuskan dalam mesyuarat terdekat.

“Difahamkan TGHH (Abdul Hadi) jawab, beliau tidak boleh buat keputusan sendiri dan akan bawa perkara ini untuk diputuskan dalam mesyuarat terdekat.

“Sebagai resiprokal, kami pun tidak pernah membuat sebarang desakan supaya kedudukan kerusi Pengerusi PN – baharu dan dahulu – ditukar tempat. Molek doh situ,” katanya.

Mohd Syahir turut menegaskan, jika Bersatu berminat untuk jawatan ketua pembangkang atau Ketua Whip, perkara itu boleh dibincang secara baik, mengambil kira pandangan ahli Parlimen dan pendirian parti.

“Kita bincang molek, ambil kira pandangan ahli parlimen dan pendirian parti, bukan serang secara terbuka. Selebihnya, biarlah angka berbicara sendiri (let the numbers speak for themselves),” katanya.

Justeru beliau menasihatkan Tun Faisal untuk memberi tumpuan kepada isu rakyat dan memperkemaskan jentera media sosial, daripada menyerang rakan dalam parti

“Lebih baik Penerangan tumpu isu rakyat, perkemas jentera medsos (bukan ceplos), serang PH/Madani; bukan serang kawan sendiri,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment