Hargai nikmat keharmonian antara agama

SEPANG 25 Feb. – Isu memijak al-Quran dan isu 3R (agama, raja, kaum) bukan sekadar persoalan undang-undang atau tatatertib institusi, sebaliknya merupakan persoalan akhlak, adab dan tanggungjawab moral yang mesti difahami oleh rakyat Malaysia.

Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Prof. Madya Dr Luqman Abdullah menegaskan, dalam sebuah negara majmuk yang dibina atas asas Perlembagaan dan kontrak sosial, keharmonian antara agama dan kaum adalah nikmat yang wajib dipelihara.

Justeru PUM meminta pihak berkuasa dan institusi Islam yang berkenaan terus komited mendidik masyarakat tentang pentingnya menjaga perpaduan nasional, memelihara keharmonian antara agama dan kaum serta mengangkat budaya ilmu dalam setiap perbincangan awam.

“Malaysia hanya akan terus aman dan dihormati apabila rakyatnya berdisiplin dalam berkata-kata, matang dalam berbeza pandangan, dan teguh memelihara prinsip keadilan serta keharmonian,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau merujuk isu tular di media sosial, mengenai gambar kaki seorang lelaki memijak al-Quran dan tangkap layar hantaran individu didakwa penuntut sebuah universiti awam.

Turut tular gambar suspek serta tangkap layar komen penuntut terbabit menghina Nabi Muhammad SAW dan susulan itu, seorang penuntut berusia 21 tahun direman empat hari sehingga Sabtu ini, bagi membantu siasatan.

Dr Luqman berkata, pihaknya memandang serius isu itu lebih-lebih lagi ianya tersebar pada bulan Ramadan, bulan al-Quran diturunkan kepada baginda Nabi Muhammad SAW.

PUM juga mengambil maklum kenyataan media yang dikeluarkan oleh Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berhubung siasatan terhadap penyebaran naratif berunsur 3R di media sosial.

Menurut PUM, Islam menegaskan prinsip tabayyun (semakan dan penelitian) sebelum menyebarkan sesuatu maklumat, justeru budaya menyebarkan kandungan yang menyentuh sensitiviti agama, kaum dan institusi diraja tanpa disiplin ilmu dan adab wajar dihentikan.

“Kebebasan bersuara bukan kebebasan tanpa batas. Dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan, kebebasan bersuara tertakluk kepada sekatan demi keselamatan negara, ketenteraman awam dan moraliti.

Kefahaman ini penting agar masyarakat tidak terjebak dalam retorik kebencian atau provokasi,” kata Luqman.

Di samping itu, mahasiswa dan warga akademik institusi pendidikan seharusnya menjadi contoh kepada masyarakat dalam mengamalkan wacana berfakta, berhemah dan berasaskan hujah ilmiah, bukan emosi atau sentimen.

“Institusi Raja-Raja dan agama Islam mempunyai kedudukan istimewa dalam Perlembagaan. Menghormati kedudukan ini bukan sahaja tuntutan undang-undang, malah sebahagian daripada adab kenegaraan yang perlu dipupuk sejak bangku sekolah dan universiti.

Media sosial menuntut etika digital. Setiap individu adalah “penerbit” pada hari ini. Maka setiap perkongsian akan dipersoalkan bukan sahaja di sisi undang-undang, tetapi juga di sisi agama,” tegas Luqman.

Justeru PUM menyeru agar masyarakat Malaysia mengamalkan pendekatan hikmah, dialog dan pendidikan dalam menangani isu-isu sensitif, mengurus perbezaan melalui saluran yang betul, berteraskan ilmu dan adab, supaya tidak membawa kepada permusuhan.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment