TEHRAN – Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) memulakan latihan ‘Kawalan Pintar Selat Hormuz’ yang bertujuan menilai tahap kesiapsiagaan operasi pasukan tenteranya, sehari sebelum pusingan kedua rundingan nuklear tidak langsung dengan Amerika Syarikat (AS).
Bahagian perhubungan awam IRGC memaklumkan latihan itu juga bertujuan menilai pelan keselamatan serta senario tindak balas ketenteraan balas terhadap potensi ancaman keselamatan dan ketenteraan di wilayah Selat Hormuz, selain mempamerkan kelebihan geopolitik Iran di Teluk Parsi dan Laut Oman.
“Tindak balas pantas, tegas dan menyeluruh pasukan operasi IRGC terhadap plot antikeselamatan di domain maritim menjadi teras latihan risikan dan operasi unit yang menyertai latihan ini,” menurut kenyataan IRGC.
Selat Hormuz, antara laluan sempit paling strategik di dunia, terletak di antara Teluk Parsi dan Teluk Oman serta adalah satu-satunya laluan laut dari Teluk Parsi ke perairan terbuka.
Latihan itu diadakan ketika ketegangan antara Tehran dan Washington memuncak susulan penempatan kapal induk dan pengebom AS ke rantau Teluk Parsi.
Pada Jumaat, Presiden AS Donald Trump berkata sebuah lagi kapal induk AS akan ditempatkan di Asia Barat.
Kapal induk USS Abraham Lincoln bersama beberapa kapal pemusnah kini sudah berada di rantau itu susulan ketegangan yang berlarutan antara kedua-dua negara.
Walaupun ketegangan meningkat, Tehran dan Washington dijadual mengadakan pusingan baharu rundingan nuklear di Geneva pada Selasa dengan Oman sebagai pengantara.
NNN
