Israel tahan imam Masjid Al-Aqsa

BAITULMUQADDIS – Menjelang Ramadan, Israel menahan Imam Masjid Al-Aqsa, Sheikh Mohammad Al‑Abbasi dari dalam perkarangan masjid itu setelah 222 peneroka Yahudi menceroboh kawasan berkenaan pada Isnin.

Tindakan itu mencetuskan kebimbangan mengenai peningkatan ketegangan menjelang puasa Ramadan yang bermula minggu ini. 

Pada masa sama, Pihak Berkuasa Palestin (PA) memberi amaran bahawa Israel berpotensi meningkatkan ketegangan di kawasan Al‑Aqsa, yang terletak di bandar lama Baitulmuqaddis Timur yang diduduki, khususnya ketika bulan puasa yang lazimnya menjadi tempoh sensitif dalam konflik Palestin–Israel.

Menurut Pentadbiran Wilayah Baitulmaqdis, pihak Israel menghalang sekurang-kurangnya 250 individu daripada memasuki Masjid Al-Aqsa sejak awal tahun. 

Minggu ini, mereka turut menghalang Majlis Wakaf Baitulmuqaddis daripada melakukan persiapan Ramadan termasuk pemasangan payung bagi perlindungan cuaca serta penubuhan klinik sementara.

Pentadbiran itu turut mengecam tindakan Ahli Knesset Israel, Amit Halevi, yang mengunjungi kawasan masjid pada Ahad dengan kawalan polis. 

Lawatan itu digambarkan sebagai sebahagian daripada “rondaan provokatif” bersama kumpulan yang digelar “Pentadbiran Temple Mount,” ketika meningkatnya desakan kelompok tertentu di Israel untuk mengubah status quo bersejarah di Al-Aqsa. 

Halevi juga dilaporkan menggesa agar apa yang digambarkan sebagai ‘doa Yahudi’ diteruskan di lokasi itu sepanjang bulan Ramadan, tindakan yang mencabar peraturan tradisi lama mengenai hak ibadah di kawasan tersebut.

Related posts

Leave a Comment