NILAI 3 Feb. – Sebelas orang pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dipilih untuk berkhidmat sebagai imam solat Tarawih sepanjang Ramadan di Osaka dari 16 Februari hingga 25 Mac 2026.
Naib Canselor USIM, Prof Dr Sharifudin Md Shaarani, berkata mereka termasuk seorang pelajar USIM–Darul Quran, akan turut menjalani latihan industri di lima buah masjid sekitar Osaka.
“Program kolaborasi ini memasuki tahun ketiga pelaksanaannya, hasil kerjasama strategik antara USIM bersama Japan Dakwah Centre (JDC) dan Osaka Islamic Centre (OIC).
USIM juga telah memulakan penghantaran Imam Terawih ke Jepun sejak tahun 2024, sebagai sebahagian usaha dakwah dan pengantarabangsaan universiti,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Terdahulu beliau mengadakan pertemuan bersama pelajar-pelajar yang terpilih yang juga akan mengikuti Kursus Persiapan Imam Solat Terawih dari 3 hingga 11 Februari, merangkumi asas bahasa Jepun serta tahsin bacaan al-Quran.
Dalam pertemuan ini, para pelajar telah menerima taujihat, nasihat dan kata-kata semangat sebagai persiapan rohani dan mental sebelum berkhidmat di bumi Jepun.
“Saya mendoakan agar para pelajar ini dapat melaksanakan amanah dengan penuh keikhlasan, menjadi duta kecil USIM dan Islam, serta menyampaikan mesej rahmah dan akhlak mulia sepanjang berada di Jepun.
Semoga usaha ini terus memperkukuh peranan USIM dalam dakwah, pembinaan insan dan keterlibatan global,” katanya.
Nnnnn
