SEPANG 2 Feb. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh tampil mempersoalkan sikap sesetengah pihak yang “takut dengan kajian”dipercayai merujuk tindakannya mengarahkan kementeriannya menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi mengadakan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Menerusi hantaran di Facebooknya hari ini, beliau menjelaskan bahawa pendidikan tinggi mengajar kita meneliti dan memahami isu serta membuat kajian yang mendalam, bukan sekadar untuk lulus peperiksaan.
“Jika kita mahukan keputusan yang tepat dan meyakinkan, kita memerlukan data dan fakta yang tepat.
“Sebab itulah saya sangat menghargai setiap proses pembelajaran dalam mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang. Di situlah saya belajar memahami kekuatan dan kelemahan sesuatu polisi,” katanya.
Beliau berkata perbandingan “pro dan kontra” membolehkan kita membuat keputusan dengan cermat, menjimatkan masa dan tenaga kita daripada melakukan kerja yang tidak membawa manfaat serta mengelakkan kesilapan.
“Kajian akan membuatkan kita lebih bijak. Kajian juga satu proses mendapatkan keputusan yang lebih baik. Oleh itu, jangan sesekali takut dengan kajian. Malah kebijaksanaan adalah elemen penting sebagai pemimpin yang bertanggungjawab memimpin rakyatnya,” katanya.
Terdahulu cadangan kajian mengadakan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur itu mendapat bantahan termasuk daripada Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Dr Puad Zarkashi dan Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh.
Nnnn
