JEDDAH – Sepanjang tahun 2025 yang lalu, Arab Saudi merekodkan kehadiran 19.5 juta jemaah haji dan umrah dari luar negara dengan mencatatkan kadar kepuasan melebihi 90 peratus bagi perkhidmatan disediakan.
Menurut Agensi Berita Arab Saudi (SPA), yang memetik laporan Pusat Pengukuran Prestasi Entiti Awam Kebangsaan (Adaa), angka itu mencerminkan pembangunan pesat perkhidmatan Kerajaan Arab Saudi untuk jemaah haji dan umrah selaras dengan sasaran Wawasan Saudi 2030.
Program Pengalaman Jemaah – satu daripada program bagi merealisasikan Wawasan Saudi 2030 – menyatakan bahawa penambahbaikan itu merangkumi kedua-dua musim haji dan umrah.
Di samping itu, program itu turut melaporkan kadar kepuasan sebanyak 91 peratus dalam kalangan jemaah haji dan 94 peratus dalam kalangan jemaah umrah, sekali gus menggambarkan kualiti perancangan dan operasi serta usaha penyelarasan lebih 60 entiti yang bekerjasama dalam menyediakan perkhidmatan bersepadu.
Program terbabit turut menyatakan bahawa pencapaian berkenaan merupakan kesinambungan kepada penghormatan bersejarah Kerajaan Arab Saudi dalam memberi khidmat kepada Dua Masjid Suci dan pengunjungnya.
Pencapaian ini adalah di bawah sokongan serta bimbingan langsung Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri, Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud.
Setiap tahun kepemimpinan negara itu meletakkan perkhidmatan jemaah haji dan umrah sebagai keutamaan tertinggi serta mendedikasikan segala sumber bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan memperkukuh kesediaan sistem berkenaan.
Nnn
