Kematian orang awam menyayat hati

BANDAR GAZA: Ketua Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza (NCAG) Ali Shaath menyifatkan kematian orang awam Palestin dalam serangan Israel di wilayah itu sejak kebelakangan ini sebagai “menyayat hati”

Menerusi hantaran di platform media sosial X, Ali Shaath mengucapkan takziah kepada keluarga yang sedang berduka dan menuntut pematuhan terhadap perjanjian gencatan senjata 10 Oktober.

Sekurang-kurangnya 37 rakyat Palestin terbunuh dalam siri serangan Israel di seluruh Semenanjung Gaza pada Sabtu, yang melanggar perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 10 Oktober 2025.

Beliau berkata, NCAG badan bukan politik yang ditugaskan mengurus hal ehwal perkhidmatan awam harian komited bersama rakan-rakan untuk mencegah insiden lanjut dan melindungi orang awam.

NCAG dianggotai 11 tokoh kebangsaan Palestin selain Shaath. Jawatankuasa itu memulakan tugasnya di Mesir pada pertengahan Januari tetapi belum lagi beroperasi dari dalam Gaza.

Menurut pejabat media Gaza,, sejak 10 Oktober, Israel terus melancarkan serangan, mengorbankan 524 orang dan mencederakan 1,360 yang lain.

Related posts

Leave a Comment