KUALA LUMPUR 28 Jan. – Pas menyangkal kenyataan berkenaan pemansuhan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) seperti yang terkandung di dalam surat Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang tersebar kepada media hari ini.
Presiden Pas Abdul Hadi Awang berkata, pemansuhan jawatan itu tidak pernah dibincangkan dan dipersetujui termasuk dalam pertemuan dengan Muhyiddin pada 16 Januari lalu.
Katanya, Pas kekal dengan pendirian jawatan Pengerusi PN hendaklah dikekalkan dan tidak dimansuhkan serta diurus tadbir seperti mana yang diperuntukkan dalam Fasal 8.3(l) Perlembagaan PN.
Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, beliau mengambil maklum kandungan surat Muhyiddin bertarikh semalam itu yang ditujukan kepada semua Presiden Parti Anggota PN dan menyambut baik komitmen semua anggota untuk memperkukuhkan lagi kesepakatan dalam PN.
Berhubung cadangan untuk pindaan Perlembagaan PN berkaitan penstrukturan PN khususnya mengenai Majlis Presiden, Pas mengulangi saranan bahawa Majlis Presiden hendaklah bertindak sebagai ‘Badan Penasihat’ dan ‘Pengawal Selia’ dalam memelihara dasar-dasar dan hala tuju PN.
Pas juga bersetuju bidang kuasa Majlis Presiden diteliti semula dengan mengusulkan pindaan-pindaan berkaitan dalam Perlembagaan PN yang akan disyorkan oleh sebuah jawatankuasa teknikal bersama.
“Adapun mengenai kenyataan Muhyiddin bahawa “Dengan penstrukturan semula PN, jawatan Pengerusi Perikatan Nasional dimansuhkan dan hal pelantikan Pengerusi PN tidak lagi berbangkit”, saya ingin menegaskan bahawa isu ini sama sekali tidak pernah dibincangkan dan dipersetujui oleh pihak kami termasuk dalam pertemuan pada 16 Januari 2026,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu susulan laporan media mengenai dakwaan Muhyiddin bahawa Bersatu dan Pas telah mencapai persetujuan untuk memansuhkan jawatan Pengerusi PN sebagai sebahagian daripada usaha penstrukturan semula gabungan itu.
Menerusi surat yang tersebar itu, Muhyiddin dilaporkan berkata, hasil penstrukturan itu menyaksikan Bersatu akan menerajui Majlis Presiden PN, manakala Pas akan mengetuai Jawatankuasa Eksekutif.
Abdul Hadi berkata, sebagai rujukan asas berkaitan Majlis Eksekutif PN, Pas menggariskan cadangan yang mana Majlis Tertinggi PN (MTPN) harus menjadi Majlis Eksekutir (ME) yang bertanggungjawab melaksanakan segala perancangan parti.
Jelasnya, ia termasuk dari sudut perorganisasian, pentadbiran dan strategi bagi memperkukuhkan parti gabungan itu terutama dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) mahu pun pilihan raya umum (PRU).
Selain itu, menurutnya, kuasa dan fungsi ME hendaklah digariskan dengan terperinci yang turut diselaraskan dengan idealisma dan perancangan Parti-Parti Anggota.
Dalam menjalankan fungsinya, ME mempunyai akauntabiliti kepada Majlis Presiden yang berperanan memantau dan mengawal selia ME dari segi dasar dan hala tuju yang ditetapkan oleh parti.
“Berdasarkan kepada perkara di atas, maka adalah menjadi pandangan dan pendirian Pas bahawa Majlis Presiden hendaklah bertindak sebagai ‘Badan Penasihat’ dan ‘Pengawal Selia’ dalam memelihara dasar-dasar dan hala tuju PN,” katanya.
Menurut Abdul Hadi, Majlis Tertinggi PN hendaklah juga menjadi Majlis Eksekutif PN yang bertindak sebagai ‘Badan Pelaksana’ dalam segala urusan pentadbiran dan strategi parti, selaras dengan Fasal 8 Perlembagaan PN.
Terdahulu Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan, berkata, pihaknya kesal dengan penularan surat daripada Presiden Bersatu itu yang ditujukan kepada presiden parti-parti anggota PN semalam.
“Pihak kami tidak dapat mengesahkan persetujuan terhadap segala butiran yang terkandung di dalam surat tersebut, khususnya berkaitan cadangan pembentukan Majlis Presiden PN dan pemansuhan jawatan Pengerusi PN.
“Sehubungan itu pihak kami akan menyatakan pendirian terhadap perkara tersebut secara bersurat kepada Presiden Parti-Parti Anggota PN untuk perhatian sewajarnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Nnn
