KUALA LUMPUR 19 Jun – Ketika berlegar surat palsu tawaran jawatan Timbalan Presiden PKR kepada Khairy Jamaluddin Abu Bakar, bekas Ketua Pemuda UMNO itu pula memuat naik gambarnya bersama Muhyiddin Yassin.
Khairy menerusi hantaran dimuat naik di InstaStory bagaimanapun tidak memberi sebarang keterangan berhubung gambar bersama Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yang menunjukkan mereka kelihatan tersenyum.
Pada Sabtu, Muhyiddin menyatakan Khairy Jamaluddin akan mengadakan perjumpaan dengan kepemimpinan PN minggu depan (minggu ini) bagi membincangkan mengenai penyertaannya dalam gabungan politik tersebut.
Sebelum ini, Bersatu menawarkan jawatan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi kepada Khairy selepas bekas Ahli Parlimen Rembau itu dipecat daripada UMNO.
Tawaran itu mengambil kira kemampuan beliau memberi sumbangan bagi memperkukuhkan kedudukan Bersatu selain ketokohannya sebagai pemimpin politik muda.
Sementara itu, PKR menafikan mengenai surat yang tular mengenai tawaran menyertai parti dan jawatan Timbalan Presiden PKR kepada Khairy.
Menurut Unit Komunikasi Media Keadilan, surat yang menggunakan nama Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail itu adalah palsu semata-mata.
Difahamkan, surat itu tular di media sosial susulan daripada status Khairy yang masih tidak mempunyai parti politik.
Ini berikutan, Jumaat lalu, beliau hadir dalam perbincangan mengenai hala tuju ekonomi negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada beliau memilih untuk bersama Kerajaan Perpaduan.
