Lakukan pembaharuan atau turun pangkat – PM

PUTRAJAYA 28 Jan. – Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi tempoh seminggu kepada pimpinan tertinggi agensi penguat kuasa untuk laksanakan pembaharuan susulan masih wujud kelemahan serius dalam aspek penguatkuasaan.

Susulan itu, beliau juga memberi amaran, kepada mereka yang berkenaan untuk
bersedia diturunkan pangkat ke jawatan lebih rendah sekiranya gagal menunaikan amanah yang diberikan.

Tegas Perdana Menteri, meskipun kerajaan mencatat pelbagai kejayaan dari segi ekonomi dan pemerintahan sepanjang hampir tiga tahun pentadbiran, ruang untuk melakukan penambahbaikan masih luas dan tidak boleh dipandang ringan.

Katanya, kejayaan yang dicapai wajar diraikan, tetapi pada masa sama kerajaan perlu bersikap insaf dengan menilai secara jujur kekuatan dan kelemahan yang masih wujud, khususnya dalam kalangan agensi penguat kuasa.

“Tetapi kira-kira tiga tahun (kemudi kerajaan), saya merasakan ada ruang yang mesti (diperbaiki), kelemahan tidak boleh dihargai baik dari segi pencerobohan atau penyeludupan atau kegiatan-kegiatan gelap yang masih berlaku dan ada kalanya dengan ruang dan keizinan keadaan.

Saya nak berikan kata-kata yang keras dan singkat, sudah sampai ketikanya yang mana kita harus beri jawapan, kalau sudah diamanahkan dan rasanya kurang mampu menerima cabaran besar dan ujian berat dan pelawaan (penyelewengan) terlalu menarik, saya syorkan untuk dimaklumkan dalam tempoh seminggu ini kepada ketua-ketua jabatan, kepada saya sendiri atau menteri.

“Sila bagi tahu jika belum bersedia untuk mengambil (amanah sebagai pemimpin penguat kuasa). Tempoh satu minggu.

“Kenapa saya pilih untuk menyatakan ini? Kerana saya sampai ke tahap hilang kesabaran dan merasakan masih ada kelemahan dan ruang kelompangan yang wajib diperbaiki,” katanya pada Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Ketua-Ketua Jabatan/Agensi Penguatkuasaan Yang Berhubungan Dengan Jenayah Kewangan di sini, hari ini.

Anwar turut mempersoalkan bagaimana penyeludupan boleh berlaku secara terbuka dan kelemahan penguat kuasa seolah-olah membenarkan keterlanjuran berterusan, sambil mengingatkan jawatan tinggi dan pengiktirafan yang diterima seharusnya mendorong keberanian untuk bertindak tegas dan berintegriti.

Beliau menegaskan, pembaharuan hanya boleh dicapai jika semua pihak bekerja sebagai satu pasukan, menolak sikap sambil lewa serta berani menegakkan nilai kebenaran, keikhlasan, ihsan dan keadilan demi menyelamatkan bangsa dan negara.

“Apakah kita bersedia lakukan pembaharuan, bertanggungjawab untuk bawa perubahan sedaya upaya, kita bawa kebaikan untuk selamatkan bangsa dan negara serta saya memilih untuk meluahkan ini kerana betapa pun saya rasa tersinggung, saya masih menaruh (harapan).

“Saya tahu dalam lubuk hati kita, masih ada keinginan untuk buat sesuatu. Ini naluri insan yang Allah jadikan kepada kita,” katanya.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment