UNESCO iktiraf masakan Itali

ROM – Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), mengiktiraf masakan Itali sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara, menjadikannya gaya masakan kebangsaan pertama di dunia menerima pengiktirafan berprestij itu secara menyeluruh.

Pengumuman itu dibuat semasa mesyuarat Jawatankuasa Antara Kerajaan UNESCO di New Delhi pada Rabu, selepas kempen selama tiga tahun oleh kerajaan Itali dan komuniti gastronomi negara tersebut.

Perdana Menteri Giorgia Meloni dalam satu kenyataan rasmi berkata, bagi rakyat Itali, masakan bukan sekadar makanan atau koleksi resipi sebaliknya adalah budaya, tradisi, pekerjaan dan kekayaan.

“UNESCO menyifatkan masakan Itali sebagai “cara untuk berhubung dengan keluarga dan komuniti, sama ada di rumah, sekolah, atau melalui perayaan dan majlis sosial.” katanya.

Ia juga dilihat sebagai satu bentuk ekspresi kasih sayang, penjagaan diri, dan warisan budaya yang diturunkan dari generasi ke generasi.

Sebelum ini, beberapa elemen individu dalam masakan Itali seperti pizza Neapolitan dan diet Mediterranean telah tersenarai dalam senarai UNESCO.

Namun, ini kali pertama keseluruhan tradisi masakan sesebuah negara diiktiraf sebagai satu entiti budaya yang menyeluruh.

Pengiktirafan ini turut dilihat sebagai usaha Itali untuk melindungi warisan kulinari mereka daripada peniruan dan komersialisasi berlebihan yang boleh menjejaskan keaslian dan nilai budaya masakan tersebut.

Antara hidangan ikonik yang menjadi simbol masakan Itali termasuk pasta al dente, pizza Margherita, risotto alla Milanese, cannoli Siciliani, dan ’nduja dari Calabria, semuanya mencerminkan kepelbagaian wilayah dan sejarah panjang negara itu dalam seni kulinari.

Dengan status baharu ini, Itali berharap dapat memperkukuh pendidikan gastronomi, menyokong petani dan pengeluar tempatan, serta mempromosikan gaya hidup sihat berasaskan makanan segar dan tradisional.

Related posts

Leave a Comment