SYDNEY – Larangan kanak-kanak bawah umur 16 tahun menggunakan media sosial, disambut baik oleh ibu bapa dan pihak advokasi kanak-kanak, tetapi dikritik oleh syarikat teknologi utama dan peguam hak kebebasan bersuara.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, berkata pelaksanaan undang-undang itu dilihat sebagai perkara membanggakan bagi keluarga, membuktikan pembuat dasar mampu membendung keburukan dalam talian yang melebihi langkah keselamatan tradisional.
“Langkah itu akan memberi perbezaan besar. Ia adalah satu perubahan sosial dan budaya paling ketara yang pernah dilalui negara kita. Ini satu reformasi mendalam yang akan terus memberi impak di seluruh dunia,” katanya semalam.
Bermula semalam, 10 platform terbesar termasuk TikTok, YouTube milik Alphabet dan Instagram serta Facebook milik Meta diarahkan menyekat pengguna bawah umur atau berdepan denda sehingga AS$33 juta (kira-kira RM135 juta) di bawah undang-undang baharu yang menjadi tumpuan pengawal selia di seluruh dunia.
Dalam mesej video, Albanese menggesa kanak-kanak supaya mencuba sukan baharu, alat muzik baharu atau membaca buku yang sudah lama tersimpan di rak menjelang cuti sekolah musim panas Australia yang bermula hujung bulan ini.
Beberapa remaja yang berada di bawah umur 16 tahun kelihatan gusar menghadapi kehidupan tanpa media sosial, namun ada juga yang tidak merasakan perkara itu.
Kerajaan menganggap larangan itu mungkin tidak sempurna pelaksanaannya, namun kira-kira 200,000 akaun sudah dinyahaktifkan di TikTok semalam, dan ratusan ribu lagi akan disekat dalam masa terdekat.
Ramai daripada kira-kira sejuta kanak-kanak yang terjejas dengan pelaksanaan undang-undang itu juga sempat menulis mesej perpisahan di media sosial.
Nnnn
