Lebih setengah juta terjejas akibat taun

GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan, wabak taun menjejaskan lebih setengah juta orang tahun ini, yang menunjukkan trend ketara tetapi tidak sekata antara wilayah.

Menurut laporan berbilang negara itu,dari 1 Januari hingga 26 Oktober 2025, sebanyak 565,404 kes taun dan 7,074 kematian direkodkan di 32 negara di lima wilayah WHO.

Wilayah Mediterranean Timur merekodkan jumlah kes tertinggi, diikuti oleh Afrika, Asia Tenggara, Amerika dan Pasifik Barat manakala tiada kes dilaporkan di wilayah Eropah sepanjang tempoh berkenaan.

Data menunjukkan peningkatan ketara dalam trajektori global wabak itu pada Oktober.

Sepanjang bulan itu sebanyak 35,026 kes baharu taun dan cirit-birit berair akut (AWD) direkodkan di 20 negara dalam empat wilayah WHO, iaitu penurunan 34 peratus berbanding September.

Kematian berkaitan taun turut menurun dengan ketara, dengan 335 kematian dilaporkan di seluruh dunia – penurunan 55 peratus berbanding bulan sebelumnya.

WHO turut melaporkan peningkatan ketersediaan global vaksin taun oral (OCV) di mana sehingga bulan lalu, purata stok vaksin berada pada 7.9 juta dos, kekal melebihi paras kecemasan lima juta dos sepanjang tempoh pelaporan.

Bagaimanapun , laporan itu menyatakan bahawa usaha tindak balas masih terjejas akibat kekurangan infrastruktur air, sanitasi dan kebersihan (WASH), bekalan vaksin terhad, jurang pemantauan, serta kesan konflik dan bencana alam.

Dengan kapasiti negara semakin terhad dan jurang pembiayaan semakin melebar, WHO dan rakan kongsi menegaskan bahawa koordinasi lebih kukuh, peningkatan pelaburan dan kerjasama rentas sempadan amat penting untuk membendung penularan dan menyokong negara yang terjejas dalam bulan-bulan akan datang.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment