Oleh : Dato Dr Ibrahim Ali
PILIHAN Raya Umum (PRU16) bukan sekadar pertandingan lima tahun sekali. Ini penentuan hala tuju negara yg di landa pelbagai masaalah, cabaran dan kronik. Dalam sejarah politik mana-mana bangsa, ada waktu tertentu di mana pemimpin perlu berfikir lebih besar daripada parti, lebih jauh daripada emosi, dan lebih dalam daripada kepentingan kelompok ketika negara menjadi kronik dan rakyat makin tenat. Negara telah kehilangan kedaulatan kemerdekaan dari segi kebebasan ekonomi dan rakyat terus tertekan kerana kos sara hidup. Dan hari ini, waktu itu sudah tiba untuk semua berlapang dada, bersifat terbuka jika benar-benar ingin menyelamatkan negara.
1.Perikatan Nasional (PN) kini pilihan atau alternatif dan simbol kestabilan. Ini realiti yang rakyat sudah nampak walau apa perbezaan politik, saya perlu sebut dengan jujur. Ini saja pilihan yg ada.
PN satu-satunya blok politik hari ini yang mempunyai struktur kepemimpinan, kestabilan dalaman dan rekod tadbir urus yang boleh diberi kepercayaan dan diyakini rakyat.
Keberanian Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika negara paling tenat, kebijaksanaan moral Tuan Guru Haji Hadi Awang dalam menjaga prinsip perjuangan, dua tunjang inilah yang menjadikan PN bahtera harapan rakyat.
Tetapi harapan tanpa strategi hanyalah mimpi. Ayam berkokok hari tak siang atau bunyi guruh tapi hujan tak turun. Dan PRU16 bukan medan untuk bermimpi tapi realiti untuk selamatkan negara dan rakyat.
2.PRU16 menuntut Blok
Pembangkang bersepadu, bukan pergerakan solo. Kita tidak lagi berada dalam era satu parti boleh menang bersendirian.Jika tidak ada pilihan terjun lah ke laut dan serah pada nasib.Untung sabut timbul dan nasib batu tengelam.
Kerajaan hari ini mempunyai kelebihan naratif, agensi kerajaan,projek-projek, media, kewangan yang berlimpah sumbangan dari tokoh-tokoh koporat, tauke judi dan segala instrumen psikologi politik. Jika pembangkang bergerak secara terpisah, undi akan bocor, kekuatan akan berpecah, dan kemenangan akan berpindah tangan, walaupun PN dilihat kuat. Ini bukan teori. Ini hukum realiti politik. Telanlah walaupun pahit.
3.PN mesti memimpin meja rundingan pembangkang dengan jiwa besar. Semua parti pembangkang yang sehaluan, serasi prinsip dan searah dengan agenda pembaharuan mesti duduk di bawah satu payung besar, dipimpin oleh PN demi menyelamatkan negara dan rakyat.
Ini bukan soal siapa kecil atau siapa besar. Ini bukan soal siapa lama atau siapa baru. Ini soal alignment nasional demi menyelamatkan negara daripada pentadbiran yang rosak teruk dan kronik..
Jika PN memimpin usaha ini sekarang, rakyat akan melihat PN sebagai matang, terbuka, rasional, dan layak menggantikan kerajaan sedia ada.
4.Pembahagian kerusi mesti profesional, bukan emosi. Kerusi bukan soal ego, kerusi ialah soal menang atau kalah. Meja rundingan mesti bermula sekarang, bukan dua bulan sebelum bubar Parlimen. Ia mesti berdasarkan kekuatan akar umbi, data keputusan lama, demografi dan strategi pecahan undi kawasan termasuk kemampuan tokoh-tokoh dari berbagai-bagai aspek.
Setiap parti mesti diberi ruang yang adil. Yang lebih penting, setiap parti mesti menang bersama, bukan menang sendirian. Jika ini disusun awal, PN boleh fokus pada jentera, bukan sibuk padam api di sana sini dalam rumah sendiri.Pepatah orang tua pesan jika terlalu tamak pasti rugi mendatang.
5.Jika PN bergerak awal, PN menang. Jika PN tunggu, PN rugi. Ini bukan amaran. Ini rumusan politik orang lama yang telah melihat naik turun seluruh kitaran politik negara. Jika PN memimpin pembentukan Blok Pembangkang Bersepadu sekarang, PRU16 akan jadi laluan kemenangan paling mudah dan jelas dalam sejarah politik negara.
Tetapi jika PN tunggu gelombang, atau pembangkang kekal terpisah, undi Melayu, undi marhain, undi belia, semuanya akan pecah. Rakyat akan lihat perangai sama saja iaitu 2 X 5 dan 5 X 2 .Dan bila undi pecah, siapa pun kuat, kemenangan akan terbang dari tangan.
6.Ini masa PN menunjukkan kebesaran jiwa kepemimpinan . Saya tidak membawa kepentingan kecil. Saya tidak bersuara untuk sesiapa. Saya bercakap sebagai seorang yg kerdil dan sudah lalui pelbagai pengalaman peristiwa yang mahu melihat dengan tegas negara kembali selamat, stabil, makmur dan bermaruah.Merdeka selama nya dgn ada harga diri dan bangsa yg bermaruah.
Jika PN berjaya membentuk Blok Pembangkang Bersepadu, dengan kerusi yang tersusun dan gerak kerja yang padu, sejarah akan mencatat PRU16 adalah titik kebangkitan baru negara dan PN lah yang membuka pintunya.
Penulis adalah Presiden Parti PUTRA
