SEPANG 19 Nov. – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengulangi gesaan supaya kerajaan memperkukuhkan garis panduan dan menguatkuasakan pemisahan jelas antara urusan rasmi kerajaan dan aktiviti parti politik ketika tempoh kempen pilihan raya.
Dalam kenyataannya, BERSIH berpandangan, pemisahan antara urusan kerajaan dan parti perlu jelas, malah amalan terbaik antarabangsa juga mengusulkan supaya wujud pemisahan sumber parti dan kerajaan yang jelas ketika kempen pilihan raya berlangsung.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu malah berkata, BERSIH sudah mempunyai Rang Undang-undang (RUU) Pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya untuk dijadikan panduan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU).
Justeru BERSIH menggesa agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said untuk segera meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya bagi memperkukuh garis panduan dan penguatkuasaan pemisahan jelas antara urusan rasmi kerajaan dan aktiviti parti politik.
Kenyataan BERSIH itu adalah sebagai respon terhadap penjelasan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menolak dakwaan sesetengah pihak yang menuduh beliau menggunakan harta serta kemudahan kerajaan bagi tujuan kempen sempena Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17.
Semalam, Anwar menegaskan semua program dihadirinya di negeri itu adalah program kerajaan yang sudah dijadualkan lebih awal, sementara sebarang aktiviti berkaitan kempen dilakukan sepenuhnya di bawah platform parti.
Mengenai penggunaan kenderaan rasmi kerajaan, Anwar berkata ia bukan suatu pilihan, sebaliknya kewajipan atas faktor keselamatan dan pertimbangan sekuriti, malah menegaskan beliau sendiri sudah menetapkan garis panduan melarang program kempen parti melibatkan mana-mana agensi atau institusi kerajaan.
Dalam pada itu, BERSIH mendakwa, penjelasan bahawa tiada aset kerajaan digunakan dalam kempen pilihan raya Sabah adalah tidak selari dengan pemerhatian badan itu yang melihat program kerajaan sepanjang tempoh kempen seperti Jualan Ehsan Rakyat di kawasan pilihan raya memberi manfaat material kepada pengundi dan mencipta persepsi kelebihan bagi pihak pemerintah.
“Kenyataan bahawa tiada aset kerajaan digunakan dalam kempen PRN Sabah didapati tidak selari dengan pemerhatian kami,” kata BERSIH.
Menurut kenyataan itu, beberapa pengumuman peruntukan juga dibuat selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, yang jelas mempunyai implikasi politik seperti pengumuman peruntukan RM62.76 juta bagi pelaksanaan 18 projek infrastruktur di Tawau.
Amalan sebegini menurut NGO itu melemahkan prinsip gelanggang pilihan raya yang adil.
“Kami mengambil maklum bahawa Perdana Menteri serta menteri kritikal seperti Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri perlu diiringi oleh pengiring atas dasar keselamatan, namun ini tidak boleh menjadi ‘cek kosong’ untuk mereka menggunakan jentera ini ke kempen pilihan raya,” kata kenyataan itu.
Berikutan itu, BERSIH mencadangkan parti politik atau gabungan parti diterajui Perdana Menteri menanggung kos tambang kelas pertama bagi perjalanan beliau dan rombongannya ketika menghadiri acara parti.
Menurut BERSIH, perkara itu pernah dilakukan bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad yang menyewa helikopter ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands pada 2019.
BERSIH juga meminta kerajaan menghentikan semua program kerajaan yang memberi manfaat material kepada pengundi sepanjang tempoh kempen kecuali perkhidmatan kritikal.
Pada masa yang sama BERSIH akan terus memantau dan menegur bagi memastikan pilihan raya kekal bersih, bebas dan adil.
“Sebarang salah laku kerajaan dalam menggunakan sumber kerajaan untuk berkempen boleh dilaporkan kepada BERSIH melalui pemantau.org,” kata BERSIH.
NNN
