KOTA KINABALU 19 Nov. – Sebanyak 22,881 kertas undi pos dikeluarkan kepada individu yang layak untuk mengundi sebagai pengundi pos pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah Ke-17 yang akan berlangsung 29 November ini.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata ia seperti yang diperuntukkan di bawah Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 bagi PRU DUndangan Sabah Ke-17.
Katanya , pengeluaran kertas undi pos pada 17 dan 18 November dijalankan oleh petugas undi pos di semua 73 bahagian PRN.
Kesemua 22,881 kertas undi pos berkenaan terdiri 21,362 kertas undi pos bagi kategori 1A membabitkan petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR, Polis, tentera dan petugas media.
“Sebanyak 336 kertas undi pos lagi bagi kategori 1B, iaitu warganegara Malaysia tinggal di luar negara dan 1,183 kertas undi pos bagi kategori 1C merangkumi agensi dan organisasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran ejen undi pos daripada parti atau individu yang bertanding.
SPR mengingatkan semua pengundi pos membuat penandaan pada kertas undi, mengisi lengkap dan betul borang Pengisytiharan Identiti (Borang 2) serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus Dewan Undangan berkenaan sebelum pukul 5 petang pada hari mengundi 29 November nanti.
Pengundi juga diingatkan sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial.
SPR sebelum ini memaklumkan, pengundi pos bagi kategori 1C diperuntukkan kepada anggota pelbagai agensi yang bertugas dan tidak dapat hadir pada hari mengundi, termasuk Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (PVR), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Penjara Malaysia.
Selain itu, petugas Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Imigresen, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), pegawai Jabatan Pendaftaran Negara di UTC serta kakitangan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Nnnn
