PUTRAJAYA 30 Mei – Selama tiga bulan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melancarkan Ops Kesan 6.0 bagi membendung aktiviti pencatutan susulan krisis bekalan global yang mencetuskan kenaikan harga minyak mentah dunia pada awal tahun ini.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa, Azman Adam, berkata operasi di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 (Akta 723) bermula 1 Jun hingga 31 Ogos ini.
Katanya, ia bertujuan memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah susulan peningkatan kos bahan mentah, operasi dan perniagaan.
Beliau berkata, pelaksanaan Ops Kesan 6.0 susulan jangkaan kesan berperingkat krisis bekalan global terhadap rantaian bekalan, kos penghantaran dan harga barangan asas di negara ini.
“Langkah proaktif ini diambil bertujuan memantau dan memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan daripada kenaikan kos bahan mentah, operasi, mahupun perniagaan demi memperoleh keuntungan tinggi yang tidak munasabah,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Azman berkata, tindakan penguatkuasaan itu selaras dengan perundangan Akta 723 serta Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018.
Operasi berkenaan, akan menggunakan data sedia ada yang dikumpul secara berkala sejak tercetusnya krisis di Asia Barat, dengan pemeriksaan meliputi keseluruhan rantaian bekalan daripada pengilang, penternak, peladang, pengedar, pemborong hingga peruncit.
Beliau berkata, antara sektor utama yang menjadi fokus, termasuk sektor petrokimia merangkumi pembungkusan dan plastik serta baja pertanian, sektor pertanian membabitkan sayur-sayuran seperti sawi, kailan, timun, tomato dan cili merah.
Di samping itu, sektor penternakan, termasuk makanan asas ayam pedaging dan penelur, ayam standard serta semua jenis telur ayam serta sektor pengangkutan, khususnya caj penghantaran logistik, selain pemeriksaan proaktif terhadap sektor lain berdasarkan aduan semasa yang diterima.
Katanya , sepanjang pelaksanaan Ops Kesan 6.0, pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara akan menyerahkan Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) di bawah Seksyen 21 Akta 723 kepada premis yang diperiksa bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai harga jualan dan kos operasi.
Azman berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi atau memberikan maklum balas terhadap notis berkenaan, termasuk mengemukakan maklumat palsu.
Beliau mengingatkan jika hasil analisis awal mendapati wujud kenaikan peratusan keuntungan semasa melebihi nilai keuntungan tahun sebelumnya dan siasatan lanjut membuktikan perniagaan itu mencatut, tindakan undang-undang akan diambil di bawah Seksyen 14(1) AKHAP 2011 yang memperuntukkan hukuman berat.
Bagi pertubuhan perbadanan atau syarikat, kesalahan pertama boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000, manakala kesalahan kedua atau seterusnya membawa denda maksimum RM1 juta.
Peniaga individu atau bukan pertubuhan perbadanan pula, kesalahan pertama memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya.
Nnn
