SEPANG 2 Nov. – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming, menyatakan kesediaan berjumpa dengan pihak media yang terlibat dalam insiden semasa sidang media pra-pelancaran “I Lite U”baru-baru ini.
“Saya dengan rendah hati sudi untuk berjumpa dengan pihak media yang terlibat dalam masa terdekat supaya perkara ini dapat diselesaikan dengan baik dan teratur,” katanya dalam kenyataan melalui Facebook.
Beliau sedar mengenai teguran ke atasnya berkaitan insiden semasa sidang media pra-pelancaran “I Lite U”baru-baru ini dan menyedari kemungkinan wujudnya kekhilafan serta menerimanya dengan hati yang terbuka.
“Selaku pemimpin saya ingin menegaskan bahawa saya sentiasa menghormati kebebasan media dan tidak pernah berniat untuk menyinggung mana-mana pihak terutamanya wartawan yang merupakan tunggak informasi Kerajaan Madani.
Objektif saya hanyalah untuk bersama-sama membina sebuah Malaysia masyarakat berbilang kaum yang inklusif, progresif dan sentiasa mengangkat martabat negara di peringkat antarabangsa.
Saya amat menghargai kehadiran serta sokongan rakan-rakan media yang sentiasa memainkan peranan penting dalam menyampaikan inisiatif KPKT kepada rakyat seperti yang berlangsung selama ini,” katanya.
Kor Ming sebelum ini dilaporkan berang dengan soalan yang diajukan wartawan Utusan Malaysia yang bertanya mengapa tema projek tersebut menggunakan bahasa Inggeris dan bukan bahasa kebangsaan.
Beliau kemudiannya bertanyakan wakil media mana dan selepas dimaklumkan Utusan Malaysia, Kor Ming mahu menghubungi ketua pengarang wartawan berkenaan.
Nnnn
