Wong PM baharu, Lee Menteri Kanan

SINGAPURA 13 Mei – Proses peralihan kepemimpinan Singapura bermula apabila Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyerahkan surat hasrat meletak jawatan mulai Rabu ini kepada Presiden Tharman Shanmugaratnam di sini hari ini.

Pada masa yang sama Lee juga menamakan Timbalannya Lawrence Wong untuk memikul tanggungjawab sebagai Perdana Menteri keempat republik itu mulai 15 Mei.

Dalam surat balasnya, Presiden Tharman bersetuju melantik Wong sebagai Perdana Menteri dan mempelawa Wong membentuk pemerintah yang seterusnya sejajar dengan Perlembagaan Artikel 25(1).

Presiden dalam surat menerima peletakan jawatan Lee turut mengucapkan terima kasih atas sumbangan Lee sebagai Perdana Menteri.

“Bagi pihak semua warga Singapura, saya ucapkan terima kasih di atas khidmat tanpa mementingkan diri sendiri oleh anda selama empat dekad dalam pemerintah, termasuk 20 tahun selaku Perdana Menteri.

“Anda telah mendorong satu ekonomi yang bertenaga dan pelbagai, telah membuka laluan peluang baru bagi warga Singapura, memperbaiki kehidupan bagi setiap segmen masyarakat dan mengukuhkan jaringan keselamatan sosial,” kata Tharman.

Presiden Tharman juga yakin sebagai Menteri Kanan, Lee akan memanfaatkan pengalaman bersama pasukan pimpinan baharu ini melakar fasa sejarah selanjutnya dan menjadikan Singapura yang lebih baik.

Majlis Angkat Sumpah Wong sebagai Perdana Menteri akan berlangsung di Istana pada 15 Mei mulai 8 malam.

Dalam surat pelantikan Wong bertarikh 13 Mei pula, Tharman menyatakan keyakinan bahawa sebagai Perdana Menteri, Wong akan memimpin Singapura dengan penuh hormat dan memastikan kestabilan berterusan.

Presiden Tharman berkata, beliau mengenali Wong selama lebih dua dekad, dan berpandangan bahawa Wong akan menjadi Perdana Menteri yang cemerlang buat Singapura dalam perubahan masa yang akan datang.

Dalam pada itu, dalam surat jawapannya kepada Presiden, Wong bersedia menerima pelantikannya sebagai Perdana Menteri Singapura dan berhasrat mengekalkan portfolionya selaku Menteri Kewangan.

Menurut Wong, menyusuli pelantikan rasminya pada 15 Mei ini, beliau akan secara rasmi menasihatkan pelantikan beberapa Anggota Parlimen (AP) selaku Menteri mulai 15 Mei.

Pelantikan itu termasuk Lee sebagai Menteri Kanan;  Gan Kim Yong sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Industri; dan  Heng Swee Keat sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Undang-Undang, Rahayu Mahzam, pula dinaikkan pangkat menjadi Menteri Negara (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan).

Dalam pada itu Lee, 72  berkata, hasratnya untuk menyerahkan jawatan kepada seorang pengganti apabila mencapai usia 70 tahun tetapi perancangan itu terjejas susulan pandemik Covid-19.

“Selepas pandemik, kami menjalankan satu proses untuk memilih seorang pengganti dan pada 14 April 2022, AP PAP bertemu dan sebulat suara mengesahkan Wong sebagai pengganti saya.

“Kini dua tahun kemudian, beliau sudah bersedia memimpin Singapura. Kini saya secara rasmi menasihatkan anda agar mempelawa Wong, yang memiliki keyakinan majoriti AP, untuk membentuk pemerintah selanjutnya,” kata beliau.

Sementara itu, dalam hantaran Facebooknya pula, Presiden Tharman berkata hanya ada segelintir pemimpin yang luar biasa ketika waktu normal dan apabila negara mereka berhadapan dengan ancaman atau krisis besar.

“ Lee telah melalui kedua-duanya, mengupayakan warga Singapura untuk berdiri tinggi dan bersatu ketika masa baik dan sukar. Singapura bernasib baik kerana mempunyainya,” katanya.

(Foto FB LHL & Presiden)

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment