IPOH 2 Nov. – Selepas menerima kecaman pelbagai pihak, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming akhirnya memohon maaf dan menarik balik kenyataan yang dianggap ‘ugutan’ terhadap wartawan Utusan Malaysia.
Kor Ming berkata, beliau menerima dengan hati terbuka segala teguran yang diberikan terhadap kenyataannya semasa prapelancaran projek pencahayaan ‘I Lite U’ di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Justeru beliau menarik balik kata-kata yang menimbulkan kekeliruan atau rasa terkilan dalam kalangan pihak media.
“Pada masa hari ini, sempena hari Ahad yang penuh permai ini, berkaitan dengan kekhilafan di Program Pencahayaan Bukit Bintang Kuala Lumpur, saya menerima dengan hati yang terbuka segala teguran.
“Sekiranya ada rakan-rakan media yang terkilan dengan kata-kata itu, saya tarik balik dan mohon maaf supaya kita dapat fokus kepada usaha membina semula tanah air kita yang tercinta ini,” katanya pada sidang media Majlis Perasmian Taman MADANI di Taman Book Bak, di sini hari ini
Kor Ming menegaskan, beliau amat menghormati pengamal media serta kebebasan bersuara mereka dalam menjalankan tugas.
“Jadi, sebab itu sekiranya ada rakan-rakan media yang rasa terkilan, saya tarik balik dan juga mohon maaf, supaya kita dapat fokus untuk menjana memastikan kita terus mengangkat martabat negara.
Saya mahu fokuskan kepada pembangunan negara. Itu penting,” katanya.
Sebelum ini tular rakaman video di sebuah acara memaparkan Kor Ming menjawab pertanyaan seorang wakil media (Utusan Malaysia) dengan nada sedikit keras berkaitan nama prapelancaran projek I Lite You di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, yang menggunakan bahasa Inggeris pada Rabu lalu.
Kor Ming berkata dan mempersoal ‘awak dari media mana? saya akan hubungi ketua editor awak’..
Tindakan menteri itu menerima kecaman daripada pelbagai pihak termasuk Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) Gerakan Media Merdeka dan (Geramm).
Tokoh Wartawan Negara, Johan Jaaffar dalam reaksinya berkata, Kor Ming perlu memohon maaf kepada wartawan Utusan Malaysia dan komuniti media secara keseluruhan susulan tindakannya yang dianggap ‘membuli’ wartawan.
Katanya, wartawan berhak menanyakan sebarang soalan dan sebagai menteri, Kor Ming sepatutnya memberikan jawapan yang baik, munasabah, tidak angkuh serta tidak seharusnya mengugut untuk menghubungi ketua pengarang wartawan berkenaan.
Nnnn
